Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Ditumbuk penyamun bertopeng

NOR AINNA HAMZAH
Ditumbuk penyamun bertopeng
Rosidah menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Kota susulan insiden samun di pos pengawal di sebuah kilang, semalam. 
1 Mei 2014
REMBAU – Seorang tukang masak berhadapan dengan detik mencemaskan apabila diterkam dua penyamun bertopeng dan ditumbuk di bahagian mata kanannya di pos pengawal sebuah kilang di Kota, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Rosidah Ali, 56, cuba mempertahankan beg berisi wang syarikat sebanyak RM3,000 dan wangnya sebanyak RM2,000 yang disandang di bahagian depan badannya.

Menurutnya, pengalaman diserang penyamun berkenaan baru pertama kali dihadapinya sepanjang 21 tahun dia bekerja di kilang berkenaan dan menjalani rutin setiap minggu menunggu pemandu lori untuk ke pasar borong di Melaka.

“Seperti biasa setiap minggu jika ingin ke pasar borong, makcik akan pergi punch card sekitar jam 3.30 pagi di kilang. Semasa sampai di kilang makcik tidak nampak motosikal atau apa-apa mencurigakan dan terus ke pejabat.

“Makcik ke kantin untuk tukar beg tangan ke beg sandang belakang memandangkan makcik membawa wang tunai yang agak banyak dan terus ke pos pengawal tunggu pemandu lori,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Rumah Rakyat Kota, dekat sini, semalam.

Rosidah berkata, belum sempat dia duduk selepas memasang kipas, dia diterkam dua lelaki berbadan besar, tinggi dan mengenakan topeng kain berwarna hitam.

Menurutnya, dua penyamun berkenaan ingin merentap beg berkenaan daripadanya dan dia memegang kuat beg itu kerana terdapat wang syarikat di dalamnya.

“Namun dua penyamun berkenaan bertindak kasar menumbuk mata makcik. Seorang lagi memegang tangan kiri mak cik bagi merampas beg sandang berkenaan.

“Makcik berguling di dalam pos berkenaan dan dalam masa yang sama menjerit meminta tolong, namun mereka berjaya mengambil beg berkenaan dan melarikan diri ke arah pokok mangga yang terletak di sebarang jalan yang rupa-rupanya di situ mereka menyorokkan
motosikal.

Rosidah berkata, dia terus memaklumkan insiden berkenaan kepada pengurus kilang sambil menahan darah yang mengalir dari mata kanannya yang cedera ditumbuk.

“Makcik trauma dengan insiden ini, namun makcik akan lawan perasaan ini lebih-lebih lagi makcik sudah lama bekerja di kilang berkenaan.

Menurutnya, susulan insiden pergelutan berkenaan, dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Tampin dan Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Malah, lutut kanan makcik juga agak sakit berkemungkinan ditendang penyamun semasa bergelut di dalam pos pengawal,"  katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak polis.

No comments:

Post a Comment