Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Dipenjara dua hari, denda RM300 curi ikan, ayam


30 April 2014


KUALA LUMPUR - "Saya tidak mahu pergi ke kedai makan awaklah, sebab awak gunakan barang curi untuk memberi makan kepada pelanggan awak," kata seorang Majistret kepada seorang pemilik kedai makan hari ini.
 
Kata-kata Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menyebabkan hadirin dalam Mahkamah Majistret di sini ketawa.
 
Kemudian, beliau menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM300 terhadap Rudy Reduan Shah Mohd Ali, 31, selepas dia mengaku bersalah mencuri dua tong ikan, 20 kilogram pelbagai jenis ikan dan lima ekor ayam bernilai RM600 di sebuah kedai runcit di PPR Pinggiran Bukit Jalil pada 8.30 pagi semalam.
 
Ketika ditanya Ashraf Rezal mengapa dia mencuri ikan dan ayam itu, Rudy Reduan Shah berkata: "Saya tidak ada wang, saya nak beli barang untuk kegunaan kedai makan saya. Saya ada masalah kewangan, saya tidak sengaja melakukannya".
 
Menurut tertuduh kedai makannya terletak di blok belakang kedai runcit berkenaan.

Mahkamah Majistret itu juga memerintahkan bapa empat anak itu menjalani hukuman penjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.
 
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Mengikut fakta kes, semasa pemilik kedai runcit ke kedainya, beliau mendapati barangan berkenaan hilang.
 
Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup di kedai itu mendapati adanya gambar tertuduh.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

Post a Comment