Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Dipenjara 4 tahun ragut RM50

WARTAWAN SINAR HARIAN
Dipenjara 4 tahun ragut RM50
Muhammad Zairuzi ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, semalam. 
12 Mei 2014
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah meragut beg tangan seorang wanita dan melarikan RM50.

Muhammad Zairuzi Zahri, 21, yang beralamat Kampung Binjai Simpang Empat, Chendering mengaku bersalah meragut beg tangan dari raga motosikal yang ditunggang Norlilawati Abd Rahman, 53, di hadapan taska Panji Alam pada jam 6.30 pagi pada 24 April lalu.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dengan menaiki motosikal sebelum tiba-tiba dihampiri seorang lelaki menaiki sebuah motosikal dan terus menyamun beg tangannya sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudiannya mengejar lelaki itu sehingga ke Lorong Hussein.

Mangsa kemudiannya memberhentikan motosikal dan pergi kepada suspek untuk menyuruh suspek mengambil sahaja duit di dalam dompetnya itu dan memulangkan kembali kad pengenalannya (IC).

Suspek ketika itu menaiki motosikal kemudian mengembalikan semula beg tangan serta dompet mangsa dan hanya mengambil wang bernilai RM50 sahaja.

Mangsa telah membuat laporan polis mengatakan tertuduh telah meragut beg tangan di dalam raga motornya dan telah dituduh melakukan kesalahan samun tanpa senjata api dan tertuduh telah ditahan di sebuah rumah di Jalan Sentosa, di sini.

Siasatan dijalankan Inspektor Norhazila Abdul Hamid, hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku menyamun beg tangan mangsa dalam raga motorsikal mangsa.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah melakukan samun tanpa senjata api terhadap Norlilawati dan dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

No comments:

Post a Comment