Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Dikelar di leher akibat disamun


ALOR SETAR 30 Mei - Dalam keadaan berlumuran darah akibat dikelar di leher, seorang lelaki warganegara Bangladesh terpaksa berlari sejauh kira-kira 300 meter bersama seorang lagi rakannya yang diikat tangannya bagi mendapatkan pertolongan setelah mendakwa disamun di Taman Seri Putra, Kuala Kedah, di sini semalam.
Menurut saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 15, beliau terkejut apabila didatangi dua lelaki itu ketika sedang bekerja di salah sebuah restoran berhampiran situ.
"Sebaik sahaja meluru ke dalam restoran, mereka bertanya di mana balai polis dan meminta salah seorang pelanggan menghubungi pihak berkuasa itu kerana mendakwa telah disamun.
"Bagaimanapun, salah seorang daripadanya iaitu mangsa yang dikelar di leher tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum sepasukan anggota polis tiba dan mengejarkan mangsa ke hospital," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Menurut Hafiz, beliau langsung tidak mengenali mangsa serta tidak mengetahui di mana rumah kedua-dua mereka.
Dalam pada itu, jiran mangsa, Zul Ismail, 46, memberitahu, beliau tidak mendengar sebarang bunyi bising ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam.
"Saya menyedari kejadian itu setelah diberitahu oleh anak yang sedang bermain badminton di hadapan rumah mangsa," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan V. Saravanan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu namun enggan mengulas lanjut sementara siasatan masih dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140531/je_04/Dikelar-di-leher-akibat-disamun#ixzz33F3AWkSU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment