Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Denggi ragut 66 nyawa hingga April

Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Dr S Subramaniam 
1 Mei 2014 PUTRAJAYA - Sejumlah 29,788 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 26 April lepas, peningkatan 277 peratus berbanding 7,912 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata untuk tempoh sama, sejumlah 66 kematian akibat denggi direkodkan, peningkatan 340 peratus berbanding 15 kematian tahun lalu.
  
"Pada minggu ke-17 iaitu dari 20 hingga 26 April, sebanyak 974 kes denggi dilaporkan berbanding 1,252 kes pada minggu sebelumnya dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 22 peratus.
  
"Pada masa ini secara keseluruhannya kes denggi di seluruh negara menunjukkan trend penurunan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Katanya untuk tempoh yang sama, sejumlah 241 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 11 negeri dan daripada jumlah tersebut, 30 lokaliti merupakan lokaliti hotspot dan 15 lokaliti merupakan wabak tak terkawal.
  
Dr Subramaniam berkata Selangor mencatat kes tertinggi dengan 577 kes, diikuti Kelantan dengan 85 kes dan Wilayah Persekutuan Putarajaya dan Kuala Lumpur dengan 80 kes.
  
"Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dalam aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi.
  
"Walaupun bilangan kes menunjukkan trend penurunan pada masa ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak alpa dan sentiasa menjaga dan memastikan persekitaran tempat tinggal, belajar dan bekerja adalah bebas dari menjadi punca pembiakan Aedes," katanya.

Dr Subramaniam berkata, sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat kebangsaan 2014 Ahad lalu dapat meningkatkan kesedaran komuniti tentang ancaman nyamuk Aedes serta mendorong mereka mengambil tindakan proaktif untuk mengelakkan risiko dijangkiti demam denggi.

Pihak komuniti juga digalakkan untuk menubuhkan pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di lokaliti perumahan masing-masing kerana ia terbukti berkesan dalam mengurangkan kejadian kes denggi, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment