Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Curi meter air: Peniaga dipenjara 31 bulan

Curi meter air: Peniaga dipenjara 31 bulan
Mohd Azaharil (kiri) diiringi anggota polis selepas Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini – Foto Bernama


IPOH - Seorang peniaga hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan iaitu mencuri, memiliki dan menghapuskan meter air milik Lembaga Air Perak (LAP) di beberapa kawasan di bandar raya ini.

Mohd Azaharil Hisham Abd Zamin, 31, juga dikenakan denda berjumlah RM1,000 dan sekiranya gagal membayar denda, boleh dipenjara enam bulan.

Bagi kesalahan mencuri meter air bernilai RM100 di No. 170, Lengkok Pegoh, Taman SPPK, Pasir Puteh di sini antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi, 14 April lepas, dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.

Mohd Azaharil juga dijatuhi hukuman penjara dan denda yang sama oleh Majistret Nur Syafiqah Noorinda bagi kesalahan mencuri meter air di No. 21, Jalan Seri Kinta Tujuh, Kampung Seri Kinta, Pasir Puteh pada 11 pagi, 17 April lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan menghapuskan harta curi iaitu satu meter air di kedai runcit Jennyfer di No. 40, Jalan Tun Perak di sini pada 6.13 petang, 16 April lepas.

Dia didakwa menurut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Majistret Suhaima Mohd Noor menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Mohd Azaharil bagi kesalahan memiliki harta curi iaitu meter air di rumah No 21, Jalan Sri Kinta 7, Kampung Sri Kinta, Pasir Puteh pada 11 pagi, 17 April lepas

Dia juga dihukum penjara enam bulan bagi kesalahan mencuri meter air di No. 45, Jalan Pengkalan Barat 36, Station 18, Pasir Puteh, antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi, 17 April lepas.

Tertuduh juga dihukum penjara enam bulan atas kesalahan mencuri meter air di No. 5, Hala Pegoh 2, Taman Pengkalan Jaya, Pasir Puteh antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi, 17 April lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment