Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Cubaan seludup dadah RM20.3 juta gagal


CHIK Omar Chik Lim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada bungkusan dadah bernilai RM20.3 juta dalam sidang akhbar di KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
SEPANG 30 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan tiga cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 107.2 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM20.3 juta dalam bulan ini.
Pengarah JKDM KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, kejayaan itu disifatkan terbesar dalam sejarah KLIA dan cubaan penyeludupan tersebut berjaya dikesan hasil risikan dan pemantauan berpandukan kes-kes terdahulu.
Menurut beliau, kesemua dadah yang rampas dikesan cuba diseludup menggunakan peket berisi makanan bijirin dan diikrarkan sebagai barangan tidak memerlukan permit import serta bercukai demi mengaburi pihak berkuasa.
Ujarnya, kesemua bungkusan terbabit dibawa menerusi penerbangan Egypt Air dari Lagos, Nigeria dan kemudian tiba di gudang MAS Kargo KLIA.
“Kes pertama berlaku pada pukul 8.20 malam, 15 April lalu dan kita mengesan sebuah kotak mengandungi 10 peket plastik warna hitam serta didapati berisi dadah seberat 4.8 kg berjumlah RM9.1 juta.
“Pada 28 April lalu, sebuah lagi bungkusan tiba dan pemeriksaan mendapati terdapat 17 daripada 19 peket bijirin mengandungi bahan kristal berwarna jernih di dalamnya yang disahkan dadah dengan berat kasar 30.35 kg bernilai RM5.7 juta.
“Satu lagi bungkusan berupa sebuah kotak mengandungi bijirin tiba pada pukul 8 malam hari yang sama, 16 daripada 19 peket bijirin itu mengandungi methamphetamine seberat 28.85 kg bernilai RM5.4 juta," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Chik Omar memberitahu, pihaknya gagal menjejaki individu yang terlibat memandangkan alamat dan poskod kiriman tertera pada bungkusan bagi kes pertama di Klang dan kedua serta ketiga di Melaka adalah palsu.
Kata beliau, pemeriksaan nama syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada bungkusan itu juga didapati tidak wujud.
Tambahnya, modus operandi itu merupakan cara terbaharu penyeludup bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah.
“Kita sedang menyiasat kes tersebut dan tidak menolak kemungkinan kegiatan ini melibatkan kerjasama antara warga tempatan dan penyeludup yang berada di Lagos.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_02/Cubaan-seludup-dadah-RM203-juta-gagal#ixzz30PatFU6r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment