Search This Blog

Monday, May 19, 2014

China pindah 3,000 rakyatnya


Gambar bertarikh 16 Mei lalu, menunjukkan sebahagian warganegara China, tiba di Kemboja melalui lintasan sempadan Bavet di wilayah Svay Rieng. - REUTERS
BEIJING 18 Mei - Kerajaan China memindahkan lebih 3,000 rakyatnya dari Vietnam hari ini, ekoran bantahan ganas anti-China yang tercetus di negara tersebut akibat tindakan Beijing membina pelantar minyak di kawasan perairan yang menjadi rebutan kedua-dua negara.
Pemindahan tersebut dilaksanakan selepas penduduk Vietnam semalam menggesa lebih banyak tunjuk perasaan anti-China diadakan selepas rusuhan pada awal minggu ini menyaksikan dua pekerja China terbunuh dan lebih 100 lagi cedera.
Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, kesemua pekerja negara ini pulang ke tanah air dengan bantuan Kedutaan China di Vietnam.
Menurut kedutaan itu, kerajaan juga akan menghantar sebuah pesawat yang disewa khas dan lima buah kapal untuk membawa pulang pekerja syarikat China 19th Metallurgical Corporation, yang terjejas teruk akibat keganasan baru-baru ini.
Terdahulu, Beijing menasihati rakyatnya agar tidak berkunjung ke Vietnam buat sementara waktu ekoran rusuhan anti-China yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.
"Baru-baru ini, keganasan tercetus di selatan Vietnam yang menyaksikan kilang-kilang asing rosak teruk akibat menjadi sasaran perusuh selain kematian dua rakyat China.
"Sehubungan itu, rakyat dan pemilik kilang China di Vietnam turut dinasihatkan sentiasa berwaspada, meningkatkan langkah keselamatan dan mengelak daripada meninggalkan premis masing-masing," jelas Kementerian Luar melalui laman web rasminya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Vietnam memberi amaran akan menjalankan tindakan tegas bagi mengekang berlakunya lebih banyak keganasan berkaitan konflik itu.
Sepanjang minggu lalu, sebanyak 22 daripada 63 wilayah di Vietnam mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran bagi membantah tindakan China mencabuli kedaulatan negara itu di Laut China Selatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_01/China-pindah-3000-rakyatnya#ixzz327UNxvXM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment