Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Cermin dek pemerhati retak


KEJADIAN cermin platform tinjau di Menara Sears retak, memaksa pencakar langit itu dikosongkan untuk proses pembaikan. - AGENSI
ILLINOIS 30 Mei - Kegembiraan sebuah keluarga untuk merakam gambar mereka di dek pemerhati platform tinjau diperbuat daripada kaca di Menara Willis di Chicago, bertukar menjadi mimpi ngeri selepas struktur yang berada di tingkat 103 bangunan itu, retak, malam kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku sewaktu keluarga dari California itu sedang duduk mengambil gambar dari platform setinggi 412 meter berkenaan yang merupakan struktur ikonik bangunan serta tarikan pelancong sekiranya berkunjung ke bangunan yang turut dikenali sebagai Menara Sears itu.
Insiden itu mengakibatkan kakitangan bangunan pencakar langit kedua tertinggi di Amerika Syarikat (AS) tersebut bergegas memindahkan keluarga berkenaan ketika bunyi kaca yang sedang retak dapat didengar dari seluruh platform tinjau berkenaan.
"Ketika itu, tapak tangan saya berada di atas lantai pelantar dan saya dapat rasakan cermin sedang retak.
"Secara jujur, saya amat terkejut dan tidak percaya malah saya amat takut sekali," kata Alejandro Garibay yang berada di lokasi kejadian bersama abang dan dua lagi sepupunya kepada Chicago Tribune.
Ironinya, beberapa ketika sebelum mereka melangkah masuk ke pelantar tinjau lutsinar sebelum pukul 10 malam itu, keluarga Garibay diberitahu kakitangan menara tersebut bahawa pelantar kaca dengan tebal 7 sentimeter itu mampu menampung berat sehingga lima tan dan tidak boleh pecah.
"Saya merasa seperti saya tidak percaya yang saya boleh jatuh menerusi struktur tersebut yang mula dibuka orang ramai pada 2009. Sehingga sekarang saya masih tidak dapat mempercayainya apatah lagi semasa mereka beritahu bahawa cermin itu tidak boleh pecah," kata Garibay lagi.
Keluarga Garibay merupakan antara pengunjung terakhir menara itu pada malam Rabu dan mereka membayar sebanyak AS$19 (RM61) untuk menyaksikan pemandangan bandar Chicago dan Tasik Michigan.
Sementara itu, jurucakap Menara Willis berkata, sebanyak empat pelantar ditutup pagi semalam bagi tujuan penyelenggaraan dan bahagian lain menara tetap dibuka kepada pengunjung.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140531/lu_03/Cermin-dek-pemerhati-retak#ixzz33EzwzC6D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment