• Zawawi menunjukkan detika cemas ketika dia diacu parang dan diugut dicederakan jika melawan.Zawawi menunjukkan detika cemas ketika dia diacu parang dan diugut dicederakan jika melawan.

ENDAU – Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumah Bendahari Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Mersing di Kampung Teriang Kecil, di sini, sekitar jam 1.45 awal pagi semalam.

Keempat-empat mereka melarikan barang kemas, komputer riba, enam telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Ketika kejadian, Zawawi Mohamad, 55, bersama isteri Noridah Said, 47, dan anak-anaknya berusia antara 13 hingga 26 tahun sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lalu diacukan parang di leher.

Zawawi berkata, penjenayah memasuki rumahnya melalui pintu dapur dan beredar setelah 15 minit berada di dalam rumahnya dengan hasil samun yang diperoleh lalu melarikan diri melalui laluan belakang rumah.

“Kami sekeluarga sedang nyenyak tidur, tiba-tiba saya sedar dan keempat penyamun itu terus menerpa serta mengacukan parang di leher sambil mengugut untuk mencederakan saya jika melawan atau membuat bising.

“Saya menurut arahan mereka dan mereka minta supaya saya menyerahkan barang berharga dan wang tunai sebelum menyentap rantai emas yang dipakai seorang anak selain mengambil sebuah komputer riba, dua utas rantai emas dan dua gelang tangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau sempat merayu supaya mereka (keempat penyamun) tidak mengapa-apakan ahli keluarganya.

“Saya bersyukur tiada ahli keluarga saya yang dicederakan dalam kejadian tersebut walaupun kerugian yang kami sekeluarga alami secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8,000.

“Saya juga kesal kerana penyamun itu  turut melarikan kasut jenama Adidas yang baru dibeli anak lelaki saya dua hari lalu yang pada saya bukanlah barang yang biasa akan menjadi sasaran penyamun apabila memecah masuk sesebuah rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Zulkepli Hashim mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata pihaknya sedang menyiasat secara terperinci kes tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang tidak berkunci dan polis sedang berusaha memburu suspek,” katanya.