Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

‘Cari tangan saya’


Isteri Izani, Aidah Ariffin, 36, berkata, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh ibu saudaranya yang menceritakan kembali kejadian itu kepadanya .

Katanya, suaminya terpaksa berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berlumuran darah ke rumah ibu saudaranya itu yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
“Suami meminta ibu saudara mencari tangannya yang putus di lokasi kejadian, sebelum anaknya membawa suami ke hospital untuk dirawat.

“Selepas itu, anggota polis dengan bantuan penduduk kampung mencari tangan suami dan menemuinya enam jam selepas kejadian dan terus membawanya ke hospital untuk penyambungan semula,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, angkara dendam lama, Izani putus pergelangan tangan kanan apabila ditetak beberapa kali menggunakan senjata tajam oleh individu dikenalinya.
Kejadian berlaku jam 8.45 malam ketika dia dalam perjalanan ke rumah ibu mentua dari rumah ibu saudaranya dengan menunggang motosikal bersendirian.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan perumahan, dia didatangi seorang lelaki bermotosikal dari arah belakang bersama sekumpulan individu dan menetak tangan kanannya beberapa kali hingga putus.
Menurut Aidah, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Besut, Terengganu dan hanya diberitahu mengenai kejadian menimpa suaminya itu oleh ibu mentuanya pada jam 9 malam.

“Tidak lama kemudian, adik ipar sekali lagi menelefon saya memaklumkan pergelangan tangan kanan suami putus.

“Mendengar berita itu saya terus ke Bachok bersama anak sebelum ke hospital,” katanya.

Ibu tujuh anak itu berkata, sebaik tiba di HUSM pada jam 3 pagi, ahli keluarga memberitahu suaminya sudah memasuki bilik pembedahan untuk penyambungan semula tangan yang putus.

Katanya, pembedahan selesai jam 9 pagi semalam dan suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut.

“Alhamdulillah, saya sempat melihatnya selepas dia keluar dari bilik pembedahan, namun masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mengikut kata doktor, pembedahan itu berjaya, namun suami masih perlukan pemantauan rapi,” katanya.

Ditanya mengenai individu yang menyerang suaminya, Aidah mengakui lelaki itu sudah lama menyimpan dendam terhadap suaminya dipercayai akibat sengketa lama.

“Suami tinggal menyewa di kawasan Bukit Temalong dan bekerja sebagai tukang paip. Kebetulan lelaki itu juga tinggal berhampiran dengan rumah ibu saudara suami dan mengambil kesempatan menyerangnya pada malam itu.

“Saya harap polis dapat segera menangkap lelaki itu dan menerima hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya giat dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment