Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Broker rumah didakwa tembak anggota polis


ABDUL Aziz Soh Abdullah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ampang, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang broker rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan melepaskan tembakan terhadap dua anggota polis ketika melakukan rondaan di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, bulan lalu.
Abdul Aziz Soh Abdullah, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal Lionel Richard Jr. dan Konstabel Zullfadz­ly Atlah dari Balai Polis Pandan Indah, dekat sini, dengan niat untuk menyebabkan kematian terhadap mangsa.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 10.52 pagi, 11 April lalu.
Tertuduh hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian itu berlaku ketika anggota polis terbabit sedang menjalankan tugas rondaan dan cuba menahan seorang lelaki Cina yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Apabila menghampirinya, anggota polis terbabit ternampak seorang lagi lelaki bersama-sama lelaki Cina itu.
Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri dan menyebabkan anggota polis berkenaan bertindak mengejar mereka.
Ekoran itu berlaku pergelutan dan suspek bertindak memukul anggota polis dengan topi keledar dan suspek juga telah melepaskan tiga das tembakan yang mengenai kedua-dua anggota tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_03/Broker-rumah-didakwa-tembak-anggota-polis#ixzz314T5tmmv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment