Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Bom meletup dalam tandas stesen minyak


2014/05/26 - 02:50:30

Kuala Lumpur: Sebuah stesen minyak dekat Batu 6, Jalan Kepong di sini, digemparkan dengan letupan bom dalam tandas lelaki premis itu, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.48 petang itu, stesen terbabit dikatakan didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar sambil menggalas sebuah beg memasuki tandas berkenaan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Osman Abu Bakar, berkata berdasarkan pengamatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu, mendapati suspek berjalan kaki sendirian ke tandas terbabit.

Katanya, selepas lima minit, suspek dilihat keluar sambil memegang beg digalasnya meninggalkan lokasi berkenaan sebelum berlakunya letupan kuat.

Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan bom buatan sendiri dan meletakkannya di atas pengepam dalam tandas terbabit.

Berdasarkan keterangan orang ramai, letupan berlaku agak kuat hingga menyebabkan syiling serta tingkap tandas itu pecah, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Osman berkata, pihaknya kini sedang meneliti semua CCTV yang ada berhampiran lokasi kejadian untuk mengenal pasti suspek.
Polis belum mengenal pasti suspek kerana dia memakai topi keledar ketika kejadian dan kita sedang menyiasat motifnya berbuat demikian.

Kita percaya bom yang digunakan suspek adalah buatan sendiri, namun Unit Pemusnah Bom (UPB) sudah mengambil bahan yang boleh membantu siasatan untuk dikaji, katanya. 

No comments:

Post a Comment