Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Boko haram papar video pelajar perempuan diculik


Gambar yang diambil daripada rakaman video kumpulan militan Boko Haram, memaparkan sebahagian pelajar yang diculik memakai hijab dan berdoa di kawasan yang tidak diketahui, semalam. - AFP
LAGOS 12 Mei - Kumpulan militan Boko Haram mengeluarkan satu rakaman video berdurasi 27 minit yang memaparkan gambar pelajar-pelajar perempuan yang diculik bulan lalu, memakai hijab berwarna hitam dan kelabu sambil berdoa, Isnin lalu.
Ketua kumpulan berkenaan, Abubakar Shekau dalam rakaman tersebut berkata, pelajar yang ditahan tidak akan dibebaskan sehingga kesemua anggota militan yang berada di penjara dibebaskan.
"Kami tidak akan membebaskan mereka sehingga anda membebaskan sahabat-sahabat kami," jelas Abubakar.
Abubakar juga mendakwa, dia bertanggungjawab di atas rakaman itu.
Video berkenaan memaparkan kira-kira 130 orang pelajar memakai hijab duduk berhampiran pokok sambil membaca al-Quran dan berdoa.
Seramai tiga orang pelajar ditemuramah dalam rakaman tersebut, dengan dua daripada pelajar tersebut mendakwa sudah memeluk agama Islam dan percaya kepada agama itu.
Setakat ini tiada sebarang butiran tentang bila rakaman tersebut diambil, walaupun kualitinya lebih baik daripada sebelumnya.
Dalam kejadian 14 April lalu, seramai 223 pelajar perempuan diculik oleh kumpulan militan Boko Haram di timur laut bandar Chibok, negeri Borno.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Nigeria menolak tawaran kumpulan tersebut yang mahu membebaskan pelajar yang diculik dengan syarat kesemua anggota militan yang dipenjara dibebaskan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140513/lu_05/Boko-haram-papar-video-pelajar-perempuan-diculik#ixzz31XfxaAMn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment