Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Beg tangan dicuri ketika sedang solat

WARTAWAN SINAR HARIAN
Beg tangan dicuri ketika sedang solat
Seorang kakitangan Masjid Razaleigh tunjuk tempat mangsa menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum beg dicuri. 
8 Mei 2014
GUA MUSANG - Seorang wanita berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai bersama barang berharga yang disimpan dalam beg tangannya dicuri ketika sedang solat Zuhur berjemaah di Masjid Razaleigh di bandar ini, petang kelmarin.

Mangsa yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ternampak kelibat lelaki yang menceroboh masuk dalam ruang solat wanita lalu merampas beg tangannya sebelum berlari keluar menerusi pintu kanan yang sudah dibuka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika mangsa berada di barisan hadapan bersolat Zuhur berjemaah bersama lapan wanita yang lain sebelum beg tangannya diletakkan di depan tempat sujud.

Menurutnya, ketika sujud akhir pada rakaat ke empat mangsa mendapati beg tangannya yang diletak didepan hilang, tetapi semasa itu dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana masih bersolat.

“Mangsa memberitahu kepada jemaah yang lain sebaik selesai berdoa dan selepas itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 2.20 petang," katanya.

Saiful Bahri berkata, beg mangsa menyimpan pelbagai barang kemas, dua telefon bimbit, kunci kereta, pasport antarabangsa, buku akaun Tabung Haji bersama wang tunai RM5,000.

Katanya, lelaki yang mencuri begnya itu dipercayai lari keluar menerusi pintu masjid sebelah kanan di ruang solat wanita kerana sebelum itu pintu berkenaan tertutup.

“Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan setakat ini kita belum membuat sebarang tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment