• Keadaan kawasan di sekitar Jalan Teluk Wanjah, yang dinaiki air.Keadaan kawasan di sekitar Jalan Teluk Wanjah, yang dinaiki air.

ALOR SETAR - Kebanyakan penduduk di sekitar Jalan Teluk Wanjah, dekat sini, didakwa berhadapan masalah banjir kilat sejak 20 tahun lalu.

Antara kawasan terbabit termasuk Jalan Teluk Wanjah, Jalan Langgar Batu 1, Taman Perwira, Taman Lam Soon, Lorong Merpati dan Lorong Titi Siam.

Difahamkan, beberapa kawasan di Bandaraya Alor Setar, dekat sini, ditenggelami air akibat hujan lebat selama beberapa jam kebelakangan ini.

Tinjauan mendapati air naik sedalam 0.3 meter (m) di beberapa jalan terbabit, menyebabkan pengguna lalu lintas terutamanya penunggang motosikal mengalami kesulitan.

Seorang penduduk hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, dia terpaksa memperlahankan kenderaan setiap kali banjir melanda.

“Malah, ketika saya singgah membeli makanan, kebanyakan kedai dimasuki air hampir ke paras lutut.

“Lebih teruk, apabila ada kenderaan sesuka hati membawa laju sehingga air terpercik ke arah penunggang motosikal," katanya.

Nur Aliya Hamid, 23, berkata, air dipercayai hanya surut selepas tiga jam, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada penduduk.

Katanya, mereka merayu pihak berkuasa tempatan menaiktarafkan sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi menggelakkan banjir kilat.

Adun Derga, Tan Kok Yew berkata, hasil lawatan ke kawasan banjir kilat berkenaan mendapati masalah dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat.

“Manakala, saliran air berdekatan lintasan berkembar tersangkut sampah. Jadi, air yang tidak dapat mengalir baik ke parit sehingga memasuki kediaman penduduk,” katanya.

Disebabkan masalah sedemikian aliran air agak lambat, sedangkan, katanya, dia sudah mengusulkan masalah itu kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas turun padang bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Gamuda Berhad, pihak terbabit berjanji akan mengkaji semula masalah itu.

Sehubungan itu, katanya, diharapkan pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan serius demi keselesaan penduduk.