• Shafik Fauzan (dua kanan) menunjukkan sotong yang dikeringkan di dalam bot yang ditahan.Shafik Fauzan (dua kanan) menunjukkan sotong yang dikeringkan di dalam bot yang ditahan.

KUANTAN - Tujuh nelayan warga Vietnam berusia 17 hingga 39 tahun berjaya ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Perikanan Pahang dalam satu operasi  kira-kira jam 1.15 tengah hari kelmarin.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan sumber laut di perairan negeri ini iaitu kira-kira 46 batu nautika dari Kuala Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, kesemua mereka ketika ditahan gagal menunjukkan bukti sah untuk menangkap ikan di kawasan terbabit.

Menurutnya, malah penguat kuasa turut mendapati mereka menangkap sotong menggunakan pukat yang mana kaedah itu diharamkan di negara ini bagi menjaga sumber laut.

“Mereka dipercayai baru memasuki perairan negeri ini berdasarkan jumlah tangkapan yang sedikit.

“Bagaimana pun, kita mendapati mereka cuba menggunakan cara yang tidak betul untuk menangkap sotong dan ia diproses menjadi sotong kering berdasarkan terdapat sotong yang dijemur pada para di atas bot,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain dan Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang, Inwi Eh Kliyau.

Dalam operasi lain, pihak berkuasa turut menahan bot Zon B  nelayan tempatan kira-kira lima batu nautika dua hari lalu.

“Tekong bot berkenaan akan disenaraihitamkan sebagai ingatan kepada nelayan lain supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan ,” katanya.

Dalam pada itu, Shafik Fauzan turut melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila dimaklumkan ada pihak yang membocorkan maklumat mengenai operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.