Search This Blog

Monday, May 19, 2014

Banduan merusuh tawan 122 orang termasuk ahli keluarga


Sebahagian anggota polis berkumpul di hadapan penjara Advogado Jacinto Filho, selepas banduan penjara berkenaan bertindak menawan 122 orang tebusan, kelmarin. - AGENSI
BRASILIA 18 Mei - Penghuni penjara Advogado Jacinto Filho di sini, bertindak menawan 122 orang tebusan semalam selepas beberapa tuntutan mereka tidak dilayan pihak berkuasa penjara.
Jurucakap penjara, Sandra Melo berkata, empat daripada tebusan berkenaan adalah pengawal penjara, manakala bakinya merupakan ahli keluarga banduan yang kebetulan datang melawat ke penjara yang terletak di timur laut Sergipe itu.
"Rusuhan hanya berlaku di satu bahagian penjara sahaja. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan permintaan banduan untuk dipindahkan," jelas Melo, sambil menambah seorang pengawal penjara cedera ringan dan dua ekor anjing dibunuh ekoran rusuhan berkenaan.
Kata Melo lagi, pihaknya sudah menghubungi polis bagi menangani masalah tersebut dan rundingan bagi pembebasan tebusan disambung awal pagi ini.
Menurut laporan, antara perkara yang diminta oleh banduan berkenaan selain mahu dipindahkan, adalah mereka mahu layanan yang lebih baik diberikan oleh pihak penjara, selain waktu lawatan dipanjangkan.
Ketua Polis Sergipe, Mauricio Iunes berkata, rundingan kini sedang giat dijalankan, tetapi tidak dapat dipastikan bila masalah itu akan selesai.
"Kami percaya banduan tidak akan mencederakan ahli keluarga mereka. Namun, saya bimbang dengan keselamatan pengawal penjara yang dijadikan tebusan," ujar Iunes.
Ketika ini terdapat kira-kira 548,000 orang banduan menjalani hukuman di penjara Brazil, dengan penjara-penjara yang berada di negara tersebut hanya mampu menempatkan 340,000 banduan sahaja. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_02/Banduan-merusuh-tawan-122-orang-termasuk-ahli-keluarga#ixzz327SGnf3q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment