Search This Blog

Monday, May 19, 2014

ATM dipecah, RM165,000 lesap



ANGGOTA polis melakukan siasatan ke atas mesin juruwang automatik (ATM) yang dipecahkan oleh sekumpulan perompak di Jertih, Besut, semalam.
BESUT 18 Mei - Empat perompak mengambil masa kira-kira lima minit untuk memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) sebelum melarikan wang tunai RM165,000 dari sebuah bank di Jerteh, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian antara pukul 5.45 pagi hingga 6 pagi itu, perompak bertopeng berkenaan menggunakan kereta jenis Proton Waja untuk menarik mesin ATM keluar kira-kira 10 meter dari tempat asalnya.
Sebaik mesin ATM itu dapat diheret keluar, mereka memecahkan tempat simpanan wang kertas sebelum melarikan diri bersama habuan. Kejadian itu disedari oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 6.15 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketika kejadian, pengawal kese­lamatan di situ dikatakan sedang solat Subuh di sebuah surau yang terletak di luar kawasan bank berkenaan.
Semasa pulang, pengawal ber­kenaan ternampak kerosakan pintu cermin bank dan mesin ATM ditinggalkan di luar kawasan bank, lalu memaklumkan kepada pihak pe­ngurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, pemeriksaan daripada kamera litar tertutup (CCTV) bank itu mendapati rompakan itu dilakukan mereka yang pakar.
Katanya, rakaman CCTV me­nunjukkan keempat-empat suspek menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat ATM bank berkenaan, lalu menariknya keluar daripada ruang ATM dan memecahkan mesin itu di luar kawasan bank.
Ini merupakan kes pertama di daerah ini dan sehubungan itu satu unit khas ditubuhkan oleh IPK Terengganu untuk membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Besut di talian : 09-6956 222 atau Balai Polis Jerteh dinombor : 09-6971 222.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140519/je_01/ATM-dipecah-RM165000-lesap#ixzz327YUCYom
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment