Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

'Arwah tiba-tiba jadi peramah'

WARTAWAN SINAR HARIAN
'Arwah tiba-tiba jadi peramah'
Faridah menunjukkan baju yang sering dipakai anaknya ketika menjalani kursus kimpalan di sebuah pusat latihan.
12 Mei 2014
 SETIU - Perubahan sikap ditunjukkan seorang bekas pelatih kimpalan apabila segera menunaikan solat setiap kali masuk waktu sejak beberapa minggu lalu rupanya petanda dia akan pergi buat selamanya.

Mohd Iskandar Yusoff, 22, dari Kampung Bahagia dekat Permaisuri mati lemas ketika mandi di pantai Kampung Bari Kecil, Penarik pada Jumaat lalu.

Ibunya, Faridah Mohd Nor, 42, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu menunjukkan beberapa perubahan ketara sebelum dia meninggal dunia.

Menurutnya, selain tidak menangguhkan solat, Allahyarham yang selama ini agak pendiam bertukar menjadi peramah dan mesra dengan sesiapa sahaja terutama ahli keluarga.

“Beberapa hari sebelum kejadian, beberapa kali juga dia beritahu saya dia berasa seperti ada sesuatu mengekori belakangnya selepas selesai solat.

“Saya beritahu akan bawa dia jumpa ustaz untuk rawat masalahnya itu dan dia setuju,” katanya.

Bagaimanapun hasrat dua beranak itu tidak kesampaian apabila Mohd Iskandar yang keluar rumah pada petang Khamis lalu ditemui mati lemas di pantai.

Kata Faridah, anaknya keluar dari rumah pada petang Khamis lalu kerana mahu ke rumah rakannya di Bukit Payong, Hulu Terengganu.

“Dia memang biasa bermalam di rumah kawannya, namun pada sebelah petang pengerusi JKKK datang beritahu dia mati lemas,” katanya.

Jenazah mangsa dituntut di bilik mayat Hospital Setiu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bahagia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mangsa turun mandi seorang diri di pantai tersebut kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, beberapa orang awam yang sedang berkelah di situ ternampak mangsa seperti lemas apabila tenggelam timbul sebaik turun ke dalam air.

“Saksi memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Usaha mencari dilakukan dan mangsa dijumpai di celah batu tidak jauh dari tempat dia mula-mula lemas jam 5 petang, hari yang sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment