Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Alatan dapur lesap dikebas pencuri

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Alatan dapur lesap dikebas pencuri
Maladewi menunjukkan bahagian dapur yang digunakan untuk memasak roti canai tanpa kuali pembakarnya selepas peralatan itu dikebas pencuri. 
8 Mei 2014
KUANTAN - Seorang peniaga gerai makan buntu untuk meneruskan perniagaan selepas beberapa peralatan kedainya di gerai Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing dekat sini lesap disyaki dicuri, awal pagi  semalam.

G Maladevi, 39 berkata, akibat perbuatan pihak tidak bertanggung jawab itu, dia tidak dapat membuka gerai  seperti biasa sehingga segala peralatan yang hilang itu diganti.

Menurutnya, selain kehilangan  peralatan kedai seperti meja, kuali pembakar roti canai, dapur dan kuali, kanvas yang dipasang untuk menutup ruang depan gerainya  dipotong  manakala fius pada papan meter elektrik juga dirosakkan.

“Saya tidak mempunyai wang untuk menggantikan peralatan yang hilang memandangkan semua itu diperoleh melalui bantuan kerajaan di bawah program 1Azam.

“Sekurang-kurangnya  RM1,000 diperlukan untuk menggantikan semua peralatan itu namun buat masa sekarang saya tidak mempunyai wang sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Mengulas kejadian itu, Maladevi berkata, dia menutup kedai seperti biasa kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kembali semula untuk membuka perniagaan jam 8.30 pagi semalam.

“Salah seorang anak yang sampai lebih awal memberitahu kanvas depan kedai hilang dan ada kesan seperti dipotong.
“Saya sampai kira-kira jam 8.30 pagi dan mendapati bahagian depan kedai juga berselerak sedangkan petang kelmarin semuanya diikat dan disusun rapi,” katanya.
Menurutnya, rantai pengikat meja memasak dan tempat menyimpan barang dipotong menyebabkan barangan itu berselerak.

“Lepas itu baru saya sedar beberapa peralatan lain turut hilang manakala bekalan elektrik juga terputus selepas fiusnya dicabut,” katanya.

Dia berkata, susulan kejadian, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 10 pagi semalam untuk tindakan.

“Saya tidak pasti kehilangan barangan itu bermotifkan curi atau khianat namun biar  apa pun niat penjenayah itu, kami yang terpaksa menanggung kesusahan,” katanya.

Maladevi berkata, sebelum ini ada beberapa individu menjadikan depan kedainya sebagai tempat melepak hingga awal pagi..

“Saya dapat tahu kumpulan terbabit turut menjadikan tempat itu untuk berjudi lalu saya mengambil keputusan untuk mencabut suis lampu di bahagian luar kedai,” katanya.

Menurutnya, dia berniaga di situ sejak setahun lalu bagaimanapun sebelum ini perniagaannya terpaksa ditutup selama empat bulan atas masalah lesen.

“Ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku terhadap saya bagaimanapun kes-kes kecurian lain seperti kehilangan meter air sering dihadapi peniaga di sini.

“Kami susah payah berniaga untuk mencari rezeki namun ada pihak yang tergamak melakukan khianat demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Dia berkata, kadang-kadang mereka juga bimbang dengan kes-kes jenayah yang kerap kali berlaku di kawasan itu termasuk gejala judi internet dan penagihan dadah.

“Kami minta pihak berkuasa memandang serius kes-kes jenayah di kawasan ini kerana ia menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya.

No comments:

Post a Comment