Search This Blog

Monday, May 12, 2014

6 lagi disyaki penculik diberkas


SEPANGGAR 11 Mei - Polis memberkas enam lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penahanan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam penculikan di perairan Pulau Berhala, Sandakan, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Hamza Taib berkata, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 53 tahun itu, ditahan dalam serbuan di sebuah perkampungan di Sandakan pada pukul 1 pagi.
“Polis turut merampas sejumlah telefon bimbit, tong kosong bagi mengisi minyak untuk diseludup dan wang tunai lebih RM50,000," katanya yang ditemui selepas majlis pertandingan golf sempena Hari Polis, di sini hari ini.
Hamza berkata, siasatan awal mendapati, kesemua mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak, namun siasatan masih dijalankan.
Semalam, polis menahan tiga lelaki dipercayai kumpulan penculik yang sedang dalam perjalanan memasuki perairan negeri ini melalui Pulau Berhala, Sandakan.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, platun Tiger dari Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut sebelum terserempak dengan bot menggunakan enjin 200 kuasa kuda yang dinaiki suspek.
Sementara itu Bernama melaporkan, seorang pakar geografi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yakin penggunaan radar teknologi tinggi di pulau-pulau dan kapal maritim mampu memantapkan lagi kawalan keselamatan, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Pensyarah Kanan dan Ketua Unit Pusat Informasi Geografi (GIS) UMS, Mustapha Abd Talip berkata, ini kerana radar berkualiti memudahkan pasukan keselamatan negara mengesan pergerakan bot penjenayah yang cuba memasuki kawasan perairan negeri ini.
“Perairan negeri ini sangat luas yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawalnya. Oleh itu, penggunaan radar yang lebih canggih dengan menambah frekuensi lebih tinggi di pulau-pulau dan lokasi tertentu boleh membantu mengawal kemasukan anasir-anasir jahat, termasuk kumpulan penculik," katanya kepada Bernama.
Mustapha berkata, kedudukan Sabah yang sangat dekat dengan negara jiran serta wujudnya 'laluan-laluan tikus' turut membawa kepada aktiviti penyeludupan dan ancaman jenayah merentas sempadan.
Beliau berpendapat penggunaan radar merupakan satu daripada pilihan terbaik bagi mening­katkan keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang dipertanggungjawabkan menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140512/je_03/6-lagi-disyaki-penculik-diberkas#ixzz31RnCyslp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment