Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

45 nyaris maut, bas persiaran masuk longkang


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Mei 2014


IPOH - Seramai 45 penumpang termasuk pemandu bas persiaran nyaris maut apabila kenderaan itu terbabas dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands awal pagi semalam.

Kejadian jam 4.40 pagi itu turut mengakibatkan dua daripada penumpang bas tersebut cedera ringan namun mereka yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mangsa yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mazlan Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kemalangan itu pada jam 4.45 pagi.

Menurutnya, tiga jentera termasuk sebuah dari BBP Cameron Highlands dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, kami mendapati kesemua penumpang termasuk pemandu telah dikeluarkan dari bas berkenaan.

“Berikutan itu, kami terus melakukan pemantauan untuk memastikan tiada mangsa lain yang cedera.

“Dua mangsa yang mengalami cedera ringan telah dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kejadian tersebut berlaku apabila kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dengan kedua-dua tayar bahagian kiri masuk ke dalam longkang.

“Bas persiaran ini dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Cameron Higlands dan ketika kejadian keadaan cuaca adalah baik,” katanya yang memberitahu operasi tamat sepenuhnya jam 5.27 pagi.

No comments:

Post a Comment