Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

306 pelajar sekolah terlibat jenayah di Sabah


30 April 2014

KOTA KINABALU - Seramai 306 orang pelajar sekolah di Sabah yang terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah ditahan sejak Januari tahun lepas hingga Mac lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 223 kes dicatat sepanjang tahun lepas termasuk 74 pelbagai kes mencuri dan 49 kes mencuri motosikal.

"Antara kes lain termasuk kes pecah rumah (36 kes), rogol (28), cedera (24, bunuh (2), samun berkawan tanpa senjata api (9) dan ragut (1)," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan papan kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJS) peringkat negeri di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 83 pelajar ditahan sepanjang Januari hingga Mac lalu melibatkan curi motosikal 30 kes, pecah rumah (20), rogol (10), cedera (6), samun berkawan tanpa senjata api (5) dan lain-lain kecurian (12).

"Pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melalui mesyuarat permuafakatan sebagai salah satu inisiatif untuk memantau sekolah-sekolah bagi mengelak pelajar terjebak dengan pelbagai masalah jenayah," katanya.

Hamza berkata setiap sekolah digalakkan menubuhkan KPJS sebagai langkah awal untuk mengekang pelajar sekolah terjebak dengan jenayah terutama ketika di luar waktu sekolah.

"Setakat ini terdapat sebanyak 189 buah sekolah yang telah mempunyai Kelab Pencegahan Jenayah," katanya.

Beliau menyampaikan 24 papan kenyataan kepada Pengarah JPN Sabah Datuk Jame Alip dan pengetua sekolah terpilih di sekitar Kota Kinabalu yang mempunyai KPJS.

Menurutnya, pemasangan papan kenyataan itu bertujuan bagi menyampaikan berita terkini dan isu semasa mengenai aktiviti kelab pencegahan jenayah, kadet polis serta lain-lain perkara yang berkaitan dengan kesedaran pencegahan dan pembenterasan jenayah.

Beliau berkata pengagihan papan kenyataan itu akan diteruskan ke seluruh daerah di Sabah secara berperingkat. - Bernama

No comments:

Post a Comment