Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

3 sudah mati dihukum bunuh


Minya (Mesir): Doktor Badawi terbunuh pada 14 Ogos lalu tetapi dia adalah di antara 37 orang yang hukuman mati mereka disahkan oleh sebuah mahkamah di sini, kelmarin.

Mahkamah berkenaan turut mengenakan hukuman sama ke atas 683 yang lain.


Kes Badawi bukan unik. Peguam berkata, dua lagi defendan yang dikenakan hukuman sama oleh mahkamah di Minya itu kerana kesalahan menunjuk perasaan menyokong Presiden Mohamed Mursi, juga sudah mati pada hari tunjuk perasaan tahun lalu.



Ia adalah antara contoh ekstrim yang disifatkan oleh masyarakat antarabangsa mengenai institusi kehakiman Mesir yang hanya mengambil masa dua sesi singkat untuk mengenakan hukuman itu ke atas beratus-ratus defenden, kebanyakannya tanpa kehadiran mereka.


Perbicaraan kelmarin hanya berlangsung selama sepuluh minit, kata peguam, Khaled Elkomy. Ketika sesi perbicaraan dijalankan, tiada seorang defendan hadir.


Beberapa ahli keluarga tertuduh pengsan di luar mahkamah sebaik mendengar keputusan hakim Said Youssef Sabry. Sabry menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 aktivis Islam termasuk ketua Ikhwanul Muslimin, Mohamad Badie selepas mendapati mereka bersalah atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh beberapa anggota polis pada 14 Ogos lalu.

Mahkamah sama turut mengurangkan hukuman ke atas 492 daripada 529 orang yang dihukum mati pada Mac lalu kepada hukuman penjara seumur hidup tetapi mengekalkan hukuman itu terhadap 37 defendan.


“Antara yang dikenakan hukuman mati ialah Doktor Badawi yang mati ditembak pada hari demonstrasi,” kata Samia Abu Amr, adik seorang defendan.

Dia bagaimanapun lega kerana abangnya tidak tersenarai. Peguam keluarga Badawi, Mohamed Abdel Wahab berkata, ahli keluarga doktor itu menerima surat pertuduhan terhadap doktor berkenaan daripada mahkamah pada 23 Ogos tahun lalu, sembilan hari selepas kematiannya.


Pendakwa raya, Abdel Rahim Abdel Malek berkata, hanya 73 daripada 683 defendan yang dijatuhi hukuman itu berada dalam tahanan. Selebihnya berhak untuk mendapat perbicaraan semula jika mereka menyerah diri. Peguam bela, Arabi Mabrouk menyatakan tiga defendan berada di luar negara ketika dituduh melakukan protes dan mereka mempunyai visa Saudi sebagai bukti.


“Mahkamah tidak melakukan siasatan penuh ke atas defendan,” kata rakannya, Mohamed Salama, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

No comments:

Post a Comment