Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

3 kali dipanah petir ketika mandi

RAIHAM MOHD SANUSI
3 kali dipanah petir ketika mandi
Anak dan rakan sekerja mangsa menunggu di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman untuk menuntut mayat mangsa 
13 Mei 2014
KEMAMAN - Seorang pemandu jentolak maut dipanah petir ketika sedang mandi di Sungai Terajur dalam kejadian hujan lebat di kawasan rumah kongsi balak Hutan Chenderong, Air Putih, di sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Mangsa, Ng Choon Wah, 70, maut serta-merta di tempat kejadian selepas dipanah petir tiga kali mengakibatkan keseluruhan badannya melecur teruk.

Bagaimanapun disebabkan kawasan rumah kongsi balak itu terletak kira-kira 40 kilometer di dalam hutan, usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa memakan masa hampir dua jam.

Mayat mangsa dibawa keluar kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh kenderaan polis dan tiba di Balai Polis Air Putih sekitar jam 2.30 pagi.

Rakan sekerja mangsa, Mustafa Mahmud, 53, berkata, ketika insiden itu berlaku, dia terdengar satu dentuman kuat dari arah sungai dan pada masa sama, ternampak percikan cahaya kilat.

“Kejadian itu berlaku sangat pantas, selepas beberapa kali panahan kilat menyambar, saya lihat mangsa rebah terlentang di dalam air.

“Pada masa sama, saya terus memanggil seorang lagi rakan yang berada di rumah kongsi berkenaan, kira-kira 30 meter dari tempat kejadian untuk mendapatkan pertolongan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman, pagi semalam.

Seorang lagi rakan sekerja mangsa yang juga penyelia balak, Pau Seng, 61, berkata, badan mangsa tidak ubah seperti ayam dibakar selepas ditemui tidak sedarkan diri.

“Waktu itu hujan diikuti ribut petir, saya turut melihat kilat memancar ke arah mangsa. Dalam kalangan pekerja di sini, mangsa popular dengan panggilan Abang Lembu kerana sangat rajin bekerja.

“Apabila saya dekati dan periksa mangsa, badannya melecur terutama di muka dan badan,” katanya.

Mangsa yang berasal dari Bentong, Pahang dan mempunyai enam anak berusia lingkungan 37 hingga 48 tahun itu sudah bekerja di kawasan pembalakan selama 50 tahun.

Anak perempuan mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kali terakhir bapanya pulang ke rumah mereka di Bentong adalah pada 1 April lalu kerana bercuti selama lima hari.

“Bapa kelihatan sangat ceria dan tiada perubahan sikap pada dirinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment