Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

28kg dadah dirampas dalam 10 hari

28kg dadah dirampas dalam 10 hari
Noor Rashid (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas oleh pasukan STING bernilai RM3 juta pada sidang media di Bukit Aman, semalam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria 
Kecekapan STING tumpas cubaan seludup syabu babit warga asing

Kuala Lumpur: Polis menahan tiga rakyat Iran dan merampas lebih 28 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta sepanjang 10 hari pertama bulan ini.

Kejayaan itu hasil kecekapan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, sekali gus melumpuhkan kegiatan penyeludupan dan pemprosesan dadah membabitkan warga asing itu yang menjadikan Malaysia sebagai transit pengedaran mereka di rantau ini.

Semua suspek berusia antara 23 hingga 42 tahun ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952” Noor Rashid Ibrahim, Pengarah JSJN Bukit Aman

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam kejadian pertama pihaknya menahan seorang lelaki Iran selepas menemui dua kilogram syabu yang disembunyikan dalam ruang khas beg pakaiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu.

“Berdasarkan siasatan awal suspek didapati ahli sindiket dadah antarabangsa yang ditugaskan membawa masuk syabu ke negara ini sebelum diserahkan kepada sindiket tempatan dan dipasarkan dalam negara.

“Susulan daripada kejayaan pertama itu, JSJN kemudian menerima maklumat berhubung satu cubaan membawa masuk sejumlah besar syabu yang dimampatkan dalam pil psikotropik yang perlu memperoleh sijil farmasi dari negara asal menerusi kargo,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Periksa 6 guni dari Pakistan
Sehubungan itu, katanya, pada 7 Mei lalu pihaknya memeriksa enam guni dari Pakistan yang disimpan dalam satu kargo di Kompleks Kargo KLIA sebelum menemui dan merampas 536,050 pil psikotropik.

“Hasil pemeriksaan, setiap pil berkenaan mengandungi dadah ephedrin dan syabu yang dipercayai akan melalui proses penyulingan anggota sindiket antarabangsa itu sebelum dipasarkan, ” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan selepas tiada individu yang dikesan cuba mengambil pil berkenaan daripada pihak kurier di KLIA.

Noor Rashid berkata, hasil maklumat daripada dua kes berkenaan, pihaknya menggempur satu unit kondominium mewah di Bukit Kerinchi di sini, sebelum menahan dua lelaki Iran dan menemui satu kotak mengandungi enam kepingan kaca bulat hijau berisi 1.3 kilogram syabu serta 25 kilogram serbuk putih dipercayai dadah.

Selain itu, katanya, pihak polis turut merampas bahan kimia yang mengandungi 17 liter cecair ‘acetone’; tujuh botol cecair ‘toulene, dua balang kaca, pelekat logam serta peralatan memasak dan memproses dadah syabu.

Katanya, semua suspek berusia antara 23 hingga 42 tahun ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya juga turut memantau pergerakan sindiket yang didalangi warga asing dan tempatan mengedar dadah ke Indonesia dan Singapura.

“Selain untuk pasaran dalam negara, sindiket dadah antarabangsa khususnya dari Afrika dan Asia Barat turut menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum aktiviti pemprosesan dan pembungkusan dadah dijalankan.

“Selepas menyeludup masuk bekalan dadah ke negara ini, sindiket dadah antarabangsa itu turut bekerjasama dengan sindiket didalangi rakyat tempatan akan membawa keluar dadah ke negara jiran menggunakan kapal, bot serta jalan darat, ” katanya.

No comments:

Post a Comment