Search This Blog

Friday, May 30, 2014

13 ditahan, 13 senjata dirampas


KOTA KINABALU 29 Mei - Polis percaya telah menyelesaikan kes kematian seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka di sini semalam, ekoran penahanan 13 anggota pasukan itu termasuk suspek utama.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Hamza Taib berkata, kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan pada petang semalam dan malam tadi, bersama 13 laras senjata api milik mereka
Katanya, kesemua senjata api itu dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan lanjut.
"Kita percaya kesemua mereka berada di lokasi kejadian dan boleh membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 serta 307 Kanun Keseksaan.
"Kesemuanya ditahan reman sehingga 4 Jun ini dan kita menganggap kes itu selesai susulan penangkapan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Hamza, tiga saksi bebas yang ditahan polis semalam bagi dirakam percakapan dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, seorang anggota komando ATM, Lans Koperal Muhamad Fiffixzafey Mat Hussin, 28, terbunuh manakala dua orang awam cedera selepas seorang anggota pasukan terbabit secara tiba-tiba melepaskan empat das tembakan yang dipercayai untuk meleraikan satu kekecohan di hadapan kedai serbaneka 24 Jam di Pekan Lahad Datu.
Muhamad Fiffixzafey berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, cedera di bahagian kiri dadanya sebelum meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Kedua-dua orang awam yang cedera itu berusia 31 dan 38 tahun serta bekerja sebagai penjaga kelab malam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140530/je_02/13-ditahan-13-senjata-dirampas#ixzz339S4JSfK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment