Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

12 tukang jahit import dicekup


Petaling Jaya: Seorang rakyat tempatan dikesan menyeludup masuk sekumpulan 12 tukang jahit warga asing sebelum diupah bekerja di premisnya di Jalan PJS 8/15 di sini.
Semua pendatang haram itu berusia antara 19 dan 46 tahun dibayar gaji harian sebanyak RM18 bagi setiap helai pakaian yang berjaya dijahit.
Kegiatan itu didedahkan apabila seramai 14 anggota Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu premis berkenaan pada jam 3 petang semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Abd Halim Ismail berkata, semua mereka ditahan ketika sedang bekerja menjahit baju di dalam premis berkenaan.
Menurutnya, seorang rakyat tempatan berusia 36 tahun turut ditahan kerana disyaki memberi perlindungan kepada pekerja warga asing terbabit.
“Tujuh daripada kumpulan warga asing ditahan adalah lelaki warga India manakala lima warga Sri Lanka.
“Mereka ditahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit serta Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya.
Menurutnya, cubaan pihak imigresen mendapatkan pemilik premis gagal kerana suspek sedang berada di luar negara.
“Pihak kami turut merampas beberapa barangan dalam operasi itu termasuk lesen perniagaan, Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), slip kedatangan pekerja, pembaris panjang, gunting, baju dan seterika,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk ditahan reman selama 14 hari bagi tujuan siasatan.
Foto
DUA anggota penguat kuasa membuat serbuan terhadap sebuah premis menjahit, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

No comments:

Post a Comment