Search This Blog

Monday, May 26, 2014

12 cedera bas jatuh gaung


2014/05/26 - 02:53:37

Padang Besar: Saya dengar pemandu bas menjerit Allahuakbar sebelum bas tiba-tiba bergegar dengan kuat yang menyebabkan semua penumpang berada dalam keadaan tunggang-langgang.

Itu gambaran oleh Amidah Hamid, seorang daripada 47 penumpang bas persiaran termasuk pemandu, yang terbabas dan terjunam ke dalam cerun sedalam 15 meter di kawasan berbukit, di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian, lima kilometer dari pasar Wang Kelian di sini, semalam.


Amidah, 48, yang menyertai rombongan anjuran sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Kepala Batas, Pulau Pinang, berkata sebaik mendengar jeritan itu, dia memeluk erat anak perempuannya berusia 17 tahun yang duduk di sebelahnya.

Ketika itu, saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku, namun boleh mengagak sesuatu yang buruk kerana bas mula bergegar. Saya terus peluk anak saya... sambil satu lagi tangan berpaut di tempat duduk kerana kami hampir terjatuh.

Nasib kami baik kerana sempat berpaut... ada penumpang lain tergolek bersama barangan sehingga ke tempat duduk hadapan sebaik bas terjunam ke cerun, katanya yang cedera ringan.

Seorang lagi penumpang, Zulita Harun, 39, berkata kejadian begitu pantas yang menyebabkannya tidak sempat berbuat apa-apa.

Ketika itu saya asyik melihat pemandangan di luar bas, sebelum menyedari bas tiba-tiba bergesel dengan penghadang jalan di selekoh ketika menuruni bukit.
Saya berpaut di tempat duduk, tetapi terlepas apabila bas terbalik sehingga tergolek ke hadapan, katanya yang retak tangan kiri dan ditahan di wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk rawatan lanjut.

Hilang kawalan ketika turun bukit

Rombongan 33 wanita, lapan lelaki dan lima kanak-kanak bertolak dari Kepala Batas, kira-kira jam 7 pagi, untuk membeli-belah di Wang Kelian dan Padang Besar.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, bas berkenaan hilang kawalan ketika menuruni bukit di laluan berselekoh sebelum terbabas ke kanan dan terlanggar besi penghadang, lalu terbalik dan terjatuh dalam gaung dengan kedudukan tayar di atas.

Ini menyebabkan kebanyakan penumpang tercampak dari tempat duduk masing-masing dan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke HTF.

Dua penumpang wanita dimasukkan ke wad iaitu seorang pesakit jantung yang mengadu sakit dalam dada dan seorang lagi sakit dalam perut.

Seramai 12 penumpang cedera termasuk ada yang retak tulang, manakala selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan mengalami kerosakan brek.

Katanya, pemandu bas berusia 46 tahun mendakwa brek gagal berfungsi ketika menuruni bukit sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Selepas gagal membrek, pemandu tidak dapat mengawal bas lalu kenderaan itu meluncur dan melanggar penghadang jalan di tebing gaung sebelum terjunam dan terbalik dalam gaung, katanya.

Kes disiasat dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Mohd Fadzil Haroon, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.41 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar serta Padang Besar dikejarkan ke lokasi dan tiba 30 minit kemudian.

No comments:

Post a Comment