Search This Blog

Monday, May 19, 2014

11 pesalah trafik ditahan, 44 motosikal disita


2014/05/19 - 04:52:34
Kuala Lumpur: Sebelas pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar ibu negara, malam semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata dalam operasi empat jam bermula 9 malam di empat lokasi itu, pihak berkuasa memeriksa 994 kenderaan dan mengeluarkan 257 saman atas pelbagai kesalahan termasuk 26 kerana menggunakan cermin gelap.


Dua ditahan pengaruh alkohol

Selain itu, katanya, pihaknya menahan dua orang selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sepanjang operasi, kami turut menyita 44 motosikal atas pelbagai kesalahan, antaranya pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dan bunyi terlalu bising.

“Seramai 25 pemandu dan penunggang motosikal pula ditahan kerana positif dadah, ” katanya kepada pemberita selepas operasi itu bersama dengan Cawangan Trafik Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Operasi di Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail itu dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Wan Abdul Bari berkata, JAS mengeluarkan saman ke atas lapan pemandu kerana kenderaan mengeluarkan bunyi bising dan dua saman kerana ekzos melepaskan asap berlebihan.

Katanya, selain menyaman ke atas pemilik kenderaan bercermin gelap, JPJ mengeluarkan 124 notis arahan kepada pemandu supaya membawa kenderaan masing-masing ke JPJ untuk pemeriksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment