• Keng Seng (kiri) menunjukkan gambar keadaan pekerjanya yang cedera dirompak sekumpulan penyamun dalam dua kejadian berasingan.Keng Seng (kiri) menunjukkan gambar keadaan pekerjanya yang cedera dirompak sekumpulan penyamun dalam dua kejadian berasingan.

PUCHONG – Mata dihentak beberapa kali dengan batu, tangan dan kaki pula dibelasah dengan kayu serta parang. Itu nasib diterima 11 pekerja binaan yang tinggal di unit rumah kedai di Jalan Intan 1, Taman Puchong Intan dekat sini, apabila perompak tidak berpuas hati dengan hasil samun diperoleh mereka.

Dalam dua kejadian berasingan Ahad lalu, seorang daripada mangsa hampir hilang sebelah penglihatan manakala yang lain menerima beberapa jahitan akibat dipukul berkali-kali oleh sekumpulan penyamun.

Majikan mangsa, Yu Keng Seng berkata, pekerja terpaksa menyerahkan wang tunai dan barang berharga apabila kira-kira 20 lelaki bersenjatakan parang, pisau dan kayu menceroboh masuk ke asrama didiami, pagi Ahad lalu.

Itu kejadian kedua selepas rompakan pertama dilakukan dipercayai kumpulan gengster sama pada 12 April lalu.

Dalam kejadian itu, hampir kesemua pekerja yang mendiami asrama berkenaan cedera dibelasah penyamun selain kerugian ribuan ringgit.

Keng Seng berkata, selepas kejadian pertama, dia kemudian menukar pintu asrama berkenaan dengan besi bagi menyukarkan penjenayah memecah masuk kediaman rumah kedai tersebut.

Sangkaannya meleset apabila penyamun menggunakan strategi menunggu pekerjanya di luar pintu dan  mengacu parang bagi menakut-nakutkan mangsa.

Pekerjanya ditolak ke dalam longkang dan dipukul di bahagian lutut serta kepala bagi mengelakkan mereka menyelamatkan diri.

Kejadian itu bukan sahaja berlaku kepada pekerjanya namun kepada penghuni sekitar yang keluar bekerja pada waktu awal pagi.

“Sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang datang menyamun penghuni di rumah kedai di sini, keadaan ini menimbulkan kegusaran kerana ia boleh berulang lagi.

“Ada ramai jiran-jiran di sini yang mengadu mereka juga pernah dirompak, saya percaya gangster ni ‘jaga’ kawasan ini,”katanya.

Adun Kinrara, Ng Sze Han yan menerima aduan daripada mangsa berkata, kekurangan anggota polis menjadi punca peningkatan kes jenayah.

“Saya gesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat penambahan pengambilan anggota baru supaya jumlah mereka selaras dengan jumlah penduduk di sesuatu kawasan,” katanya.

Sementara Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya akan mengadakan Ops Payung di kawasan itu bermula hari ini.

Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya dan polis akan mempergiatkan rondaan di kawasan tersebut pada waktu yang menjadi sasaran penjenayah.