Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

100 mangsa 2 bom kereta


Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam dua serangan bom kereta di Homs, bandar raya ketiga terbesar Syria, semalam.

Kumpulan penentang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di bandar yang dikuasai tentera kerajaan itu.

Serangan yang dilakukan kelmarin itu adalah yang terburuk di Homs sejak konflik Syria meletus tiga tahun lalu.

Ia juga berlaku sehari selepas Presiden Bashar al-Assad mendaftarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya 3 Jun depan.

Beliau dijangka memenangi pilihan raya kontroversi yang dijadual diadakan walaupun tiada tanda-tanda menunjukkan keganasan akan berakhir.

Sekutu al-Qaeda di Syria, Barisan Al-Nusra berkata, ia melancarkan serangan berkembar itu di daerah Abbasiyeh yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Alawite, seperti Bashar.

Pejuang Al-Nusra berjaya melancarkan serangan itu walaupun Abbasiyeh dikawal ketat.

“Penduduk prokerajaan di kawasan itu merasai kesengsaraan seperti yang dirasai saudara kami,” kata kumpulan itu.

Mereka merujuk kepada pengeboman tanpa henti yang dilancarkan tentera kerajaan terhadap daerah yang dikuasai penentang.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Ia bagaimanapun meningkatkan angka kematian itu kepada sekurang-kurangnya 100 orang.

Pengarah kumpulan Rami Abdel Rahman berkata, pengebom datang dari luar Homs.



“Ia amaran daripada penentang kepada Bashar bahawa tidak ada zon yang selamat untuk mengadakan pilihan raya,” kata Rami.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

No comments:

Post a Comment