Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

1 maut, 3 cedera dalam kemalangan tiga kereta


ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam keretanya yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Semuba, Chetok, Pasir Mas, kelmarin.
PASIR MAS 7 Mei - Seorang wanita maut manakala tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak ber­usia enam tahun cedera dalam kemalangan di Kampung Semuba, Chetok di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, Noresah Ismail, 50, yang memandu kereta jenis Perodua Kenari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas.
Dua lagi mangsa iaitu Nik Mohd. Fariqh Ab. Halim, 43, yang merupakan pemandu kereta jenis Suzuki dan penumpang kereta Toyota, Tan Tze Qing masing-masing cedera parah. Bapa Tze Qing yang memandu Toyota iaitu Tai Fung Nee, 36, hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, siasatan awal mendapati kereta Suzuki yang datang dari arah Tanah Merah dan menghala ke Pasir Mas telah terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Perodua Kenari.
Kata beliau, akibat pelanggaran tersebut, kereta Nissan yang ber­ada di belakang Perodua Kenari itu turut terlibat dalam kemalangan tersebut dan menggelongsor lalu melanggar lori treler yang berhenti di tepi jalan.
"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, suami Noresah, Hashim Brahim, 57, memberitahu, sudah menjadi rutin isterinya itu menghantar cucu ke tempat anak­nya bekerja di Kangkong selepas menunaikan solat Zohor.
"Entah kenapa hari ini (semalam) arwah hendak menghantar cucunya lebih awal dan saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh rakan yang berada di tempat kemalangan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_03/1-maut-3-cedera-dalam-kemalangan-tiga-kereta#ixzz314SVgskc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment