Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Waris mangsa berbalah apungkan feri Sewol



ANGGOTA-ANGGOTA penyelamat yang menaiki sebuah bot memeriksa lokasi feri Sewol dengan beberapa kren gergasi kelihatan di belakang mereka.


JINDO - Empat hari selepas nahas feri di Korea Selatan, para waris mangsa berbelah-bahagi sama ada untuk membenarkan penggunaan kren untuk menaikkan kapal tersebut dan menamatkan operasi menyelamat.
Terdapat lima kren terapung di lokasi kejadian tetapi Presiden Park Geun-Hye memberi jaminan kepada keluarga ratusan mangsa yang masih hilang bahawa operasi mengapungkan feri itu hanya akan dibuat selepas tiada lagi harapan untuk menemui mangsa-mangsa terselamat
Setakat ini, hampir 60 orang disahkan mati tetapi lebih 240 lagi masih belum ditemui.
Kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar sebuah sekolah tinggi yang dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Jeju.
Detik lebih memilukan bermula apabila anggota-anggota unit penyelam mula menemui lebih banyak mayat dari dalam feri Sewol semalam.
Sehingga kini, ramai waris mangsa berharap anggota keluarga mereka mungkin terselamat dalam poket-poket udara yang terbentuk dalam feri tersebut.
Mereka bimbang operasi mengapungkan feri berkenaan akan menutup semua ruang udara tersebut sekali gus meragut nyawa mangsa-mangsa terperangkap.
"Saya berpendapat masanya sudah tiba untuk kren-kren gergasi itu digunakan," kata bapa kepada seorang pelajar berkenaan yang menggunakan nama keluarganya, Lee
"Ia pilihan paling praktikal sekarang bagi menghalang mayat daripada dihanyutkan arus dan hilang buat selamanya serta menghalang mayat daripada membusuk," tambahhya.
Anak lelaki Lee merupakan sebahagian daripada 352 pelajar Sekolah Tinggi Danwon yang menaiki kapal tersebut ketika ia karam.
Dalam pada itu, beratus-ratus ibu bapa berkampung di sebuah gimnasium di Pulau Jindo berdekatan lokasi kejadian di selatan negara berkenaan.
"Sudah empat hari tragedi berlaku. Kita perlu berbuat sesuatu," kata bapa seorang lagi mangsa pada sesi pertemuan dengan pegawai-pegawai unit pengawal pantai Korea Selatan kelmarin.
"Jika harapan sudah tiada, kami perlu diberi peluang untuk memeluk anak-anak kami ketika mayat mereka masih berdaging dan kami masih boleh mengenali mereka," tambahnya yang bersetuju supaya feri itu diapungkan.
Namun, pihak berkuasa masih buntu untuk menamatkan operasi menyelamat. Mereka bimbang akan meningkatkan kemarahan waris-waris mangsa yang sebelum ini mengecam pihak berkuasa kerana didakwa lambat bertindak.
"Ia keterlaluan (mengapungkan feri), apa akan berlaku jika masih terdapat seorang yang masih hidup di dalam kapal itu," kata seorang ibu mangsa, Chung Hye-Sook.
"Saya mahu penyelam-penyelam turun dan membawa keluar semua mangsa," tambahnya.
Dalam pada itu, beberapa pegawai berkata, sebanyak 19 mayat telah dialihkan dari feri Sewol setakat semalam.
Perkembangan tersebut menjadikan angka kematian nahas berkenaan kini 58 orang dengan 244 mangsa masih hilang.
Feri seberat 6,825 tan itu karam pagi Rabu lalu semasa dalam perjalanan menuju ke pulau peranginan Jeju di selatan negara itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2zT29zpuc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment