Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Warga Pakistan didakwa rogol


KUALA LUMPUR 11 April - Seorang penyelia asrama warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang pelajar perempuan di sebuah hotel, tiga bulan lalu.
Awais Ul Haq, 20, yang mengalami masalah pendengaran didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun yang juga teman wanitanya di dalam bilik sebuah hotel di sini, antara pukul 2 petang dan 3.30 petang, 17 Januari lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, lelaki tersebut yang menyelia asrama tempat mangsa belajar didakwa mengikut Seksyen 376(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia juga didakwa meliwat mangsa yang sama di dalam bilik hotel tersebut antara pukul 3 petang dan 5.45 petang, 23 Mac lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin namun peguam, Norman Mohd. Nasir yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan.
Hakim Ahmad Bache membenarkan tertuduh diikat jamin namun nilainya akan ditetapkan apabila ahli keluarga atau kenalan tertuduh membuat permohonan kepada mahkamah ini berikutan tiada pihak yang hadir hari ini untuk menjamin tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mei ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140412/je_09/Warga-Pakistan-didakwa-rogol#ixzz2ycFV65eT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment