Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Wanita, anak maut kereta terbakar


Keadaan kereta Proton Saga BLM yang remuk dan terbakar dalam kemalangan yang mengorbankan seorang wanita dan anak perempuannya di KM47 Jalan Teluk Intan-Sitiawan di Teluk Intan, Perak, kelmarin. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
TELUK INTAN 6 April - Seorang wanita dan anak perempuannya berusia dua tahun maut apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Teluk Intan-Sitiawan petang semalam.
Nur Zuraiyanie Habil, 30, dan anak perempuannya, Iman Nur Qurratunnisa Muhammad Syafie dari Seri Manjung, disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi anak mangsa yang berada di dalam kereta, Muhammad Iman Qashrin Muhammad Syafie, lima tahun tidak mengalami kecederaan serius dan mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
Sementara pemandu lori terlibat, Johari Ahmad, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kemalangan berlaku pada pukul 4.45 petang semalam ketika kereta yang dinaiki wanita berkenaan dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala Sitiawan.
Menurutnya, kereta yang dipandu wanita berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain lalu masuk ke laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
"Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan cuba mengelak daripada bertembung dengan kereta mangsa namun tidak sempat. Akibat pertembungan itu, kereta mangsa berpusing sebelum terbakar manakala lori terbabit terbabas ke kiri jalan.
"Mangsa dikeluarkan dari kenderaannya dengan bantuan orang awam dan anggota bomba," katanya di sini hari ini.
Kok Liang memberitahu, anak mangsa yang terselamat dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan dan dibenarkan keluar setelah pemeriksaan mengesahkan kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya lagi, mayat kedua-dua turut dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh keluarga untuk pengkebumian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140407/je_03/Wanita-anak-maut-kereta-terbakar#ixzz2yCTDNEyy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment