Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Tunang meraung


Oleh Sarah Zulkifli
Ampang: Hajat seorang penganggur melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan tidak kesampaian apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 31 tahun enam bulan serta 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan kesalahan pecah rumah hingga menyebabkan kerugian RM174,200 sejak tiga tahun lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Norman Shah Jamal, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua tuduhan dihadapinya selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan mulai semalam.



Sebaik prosiding selesai, tunang tertuduh yang hadir meraung hingga terpaksa ditenangkan adik tertuduh yang turut berada dalam mahkamah. Terdahulu, tertuduh sebaik mendengar keputusan itu dilihat menunjukkan aksi tidak puas hati sambil memberitahu mahukan hukuman berjalan serentak.


Bagaimanapun, Ayuni Izzaty menasihatkan tertuduh tidak mengulangi kesalahan dilakukan dan jika tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan.


Mengikut kertas tuduhan, Norman didakwa melakukan 15 kesalahan di sekitar daerah sini antara 11 Mac 2011 hingga 20 Mac tahun ini dengan mencuri pelbagai barangan termasuk wang tunai, barang kemas, jam tangan serta gajet elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba.

Bagi kesalahan itu, Norman didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda manakala kesalahan mencuri boleh dipenjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.


Selain itu, tertuduh juga didakwa terhadap satu tuduhan cuba melakukan pecah rumah di Kampung Tasek Permai di sini, jam 5.45 pagi 26 November 2013 dan berdepan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 453 yang dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikurangkan hukuman kerana perlu menjaga dua adik memandangkan ibu bapanya bercerai.


“Saya melakukan kesalahan ini kerana desakan hidup memandangkan ibu bapa bercerai dan perlu menjaga dua adik lain.


“Saya juga baru bertunang dan akan berkahwin pada bulan lapan, saya minta supaya mahkamah memberikan hukuman serentak, kalau saya tahu akan jadi macam ini, saya pun tak akan buat kesalahan,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene berhujah tertuduh mempunyai rekod lampau sejak 2008 hingga 2010 kerana kesalahan sama.


“Ini menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan jenayah dan hukuman dikenakan ini untuk menghalang tertuduh daripada mengulangi kesalahan.


“Semua mangsa juga mengalami kerugian kerana barang-barang curi tidak lagi dapat dipulangkan,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya S Purnima yang turut sama mengendalikan kes berkata, tertuduh adalah pesalah tegar yang tidak pernah serik berikutan kesalahan dilakukan dalam masa yang dekat antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment