Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Tujuh pelajar ahli Geng Amir aktif menyamun, ragut diberkas


MELAKA 4 April - Kelicikan kumpulan samun, ragut dan curi motosikal terdiri daripada tujuh pelajar sekolah menengah yang dikenali sebagai Geng Amir, akhirnya tumpas kelmarin apabila kesemua mereka ditahan polis.
Kesemua yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu dipercayai bertanggungjawab terhadap 80 kes jenayah tersebut di sekitar bandar raya ini, sejak November tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan mendapati, dalang kumpulan itu adalah pelajar berusia 15 tahun.
“Terbaharu adalah kejadian ragut beg tangan seorang wanita ketika mangsa menunggang motosikal bersama rakannya di Taman Melaka Raya, kira-kira pukul 10 malam, pada 31 Mac lalu.
“Mangsa kehilangan wang tunai RM1,000, kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad insurans dan telefon bimbit jenis Sony Xperia.
“Ini adalah kejayaan terbesar polis menumpaskan satu lagi kumpulan penjenayah samun dan ragut. Kali ini melibatkan semua pelajar sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Raja Shahrom seterusnya berkata, hasil siasatan, kesemua suspek melakukan jenayah samun dan ragut di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Beliau berkata, antaranya adalah di Jonker Walk, Taman Melaka Raya, Jalan Peringgit, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Bendahara dan Jalan Mufti Haji Khalil.
Ujarnya, hasil maklumat orang ramai dan risikan, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi iaitu Duyong, Kandang, Semabok dan Padang Temu.
“Polis turut menemukan lima unit telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa ragut dan sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 berwarna biru," ujarnya lagi.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 9 April ini.
Justeru Raja Shahrom meminta mereka yang menjadi mangsa samun dan ragut di beberapa lokasi tersebut, tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.
Jelasnya, polis sedang mengumpul bukti-bukti dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Dalam satu lagi kes lain, Raja Shahrom berkata, seramai empat orang termasuk seorang guru ditahan berhubung sindiket kereta curi, baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140405/je_02/Tujuh-pelajar-ahli-Geng-Amir-aktif-menyamun-ragut-diberkas#ixzz2xxhcxISl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment