Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Tiga minggu anak tak pulang rumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2014

Tiga minggu anak tak pulang rumah
Tiga minggu anak tak pulang rumah Abd Razak yang enggan mukanya disiarkan memegang sekeping gambar Nor Haleeda.



TEMERLOH – Sepasang suami isteri dari Taman Temerloh Makmur, dekat sini merayu anak gadisnya pulang selepas tiga minggu keluar rumah dipercayai mengikut seorang tomboi.

Abd Razak Wahab 50, berkata, anak gadisnya seolah-olah dipukau dan mengikut sahaja kemahuan tomboi itu termasuklah menyerahkan rantai emas dan barangan peribadinya sepanjang setahun mengenali tomboi itu.

Menurutnya, sebelum ini anak gadisnya, Nor Haleeda 22, adalah seorang anak yang mendengar kata tetapi semua itu berubah sejak dia mengenali tomboi terbabit.

“Saya bimbang anak gadis saya diperdagangkan pihak tertentu dan merayu sesiapa sahaja yang menjumpainya supaya dapat menghantarnya pulang kerana kami sekeluarga sangat merinduinya.

“Saya juga merayu dengan pihak berkuasa menyiasat dan mencari ke mana hilangnya anak gadis saya ini,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Sementara itu ibu gadis terbabit Zainon Muda, 43, berkata, dia dan suami melakukan pelbagai ikhtiar untuk membawa pulang anak gadisnya termasuk bertemu dengan seorang ustaz pengamal perubatan Islam.

Menurutnya, kali pertama anak gadisnya mengikut tomboi itu dan tidak pulang ke rumah selama lapan bulan sebelum berjaya dibawa pulang dan dihantar berubat.

“Dia hanya sempat tinggal semula dengan kami hanya dalam tempoh sebulan, selepas berubat nampak ada perubahan dan dia kembali ke pangkuan keluarga, tetapi pada satu malam tomboi itu datang ke rumah ikut pintu belakang dan bawa anak saya pergi.

“Sudah tiga minggu anak saya tidak pulang ke rumah, suami saya pernah pergi mencari anak gadis saya di rumah keluarga tomboi itu tetapi anak saya tidak ada.

“Menurut tomboi itu, anak saya ke Terengganu mengikut seorang kenalannya tetapi saya yakin anak saya masih bersamanya dan berada di daerah ini,” katanya.

Zainon merayu anak gadisnya itu pulang ke pangkuan keluarga selain meminta bantuan polis untuk membawa anaknya pulang.

No comments:

Post a Comment