Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Tiga beranak terlepas hukuman penjara


KUALA LUMPUR 11 April - Seorang suri rumah dan dua anak perempuannya terselamat daripada hukuman penjara empat tahun setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada sabitan memperdagangkan seorang bekas pembantu rumah warga Kemboja, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan hukuman dan sabitan salah itu setelah mendapati tiada bukti yang menunjukkan bahawa mangsa, Chhum Pov, 30, telah diperdagangkan bagi tujuan eksploitasi.
Selain itu, hakim tersebut menyatakan, tiga beranak terbabit sepatutnya didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan bukannya dituduh mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (AAPO) 2007.
Pada 22 Februari tahun lalu, Soo Ah Lai, 61, dan dua anak perempuannya, Yap Siew Ling, 39, yang merupakan janda dan Yap Siew Lee, 32, masing-masing dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memperdagang Pov bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau paksaan terhadap mangsa.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 petang, 18 Mac 2012 di 39, Jalan 2/62, Bandar Manjalara, Kepong dekat sini.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 13 AAPO yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Terdahulu, ketika membaca penghakimannya, Hakim Amelia menyatakan, terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa mangsa tidak dikurung sebaliknya bebas untuk keluar termasuk membuang sampah.
Ujar beliau, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa wanita Kemboja itu tidak dibayar gaji sebaliknya terdapat kontrak yang membuktikan gaji pembantu rumah warga asing itu disimpan oleh majikan sehingga tamat tempoh perkhidmatan.
Menurut hakim tersebut, tiga beranak tersebut sewajarnya dituduh kerana mengakibatkan kecederaan ke atas mangsa kerana terdapat keterangan yang menunjukkan Pov telah dipukul oleh kesemua tertuduh antaranya menggunakan tangan, kayu dan penyapu sehingga patah selain mukanya diberus menggunakan berus tandas.
Keterangan pakar perubatan juga menunjukkan terdapat luka dan lebam akibat dipukul, ditampar dan terkena objek panas di tubuh mangsa.
"Mahkamah berpuas hati bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 13 AAPO tidak mengikut aturan dan sebaliknya kesemua tertuduh sepatutnya didakwa mengikut Kanun Keseksaan. Hakim Mahkamah Sesyen juga telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa terdapatnya kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri,'' kata Hakim Amelia.
Hakim itu turut membangkitkan persoalan sama ada Mahkamah Tinggi hari ini boleh meminda pertuduhan yang dihadapi oleh tiga beranak tersebut.
"Sebarang pindaan terhadap pertuduhan akan menyebabkan ketidakadilan kepada kesemua tertuduh memandangkan kesemua mereka telah memberi keterangan bela diri atas dakwaan yang berbeza,'' katanya.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Choong Kak Sen manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, P. Viknesvaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140412/ma_03/Tiga-beranak-terlepas-hukuman-penjara#ixzz2ycLzg3Lv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment