Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Tibi: P Pinang catat 130 kematian


12 April 2014


GEORGETOWN - Pulau Pinang merekodkan 130 kematian akibat penyakit Tibi atau batuk kering daripada 1,230 kes yang dilaporkan tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim.
 
Beliau berkata sebahagian besar pesakit berkenaan lewat mendapatkan rawatan dan kurang pengetahuan asas mengenai simptom awal serangan penyakit Tibi.
 
"Ada yang sampai berbulan-bulan batuk dan mengalami demam berpanjangan baru hendak dapatkan rawatan sedangkan penyakit ini ada harapan sembuh jika dikesan pada peringkat awal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tibi 2014 peringkat negeri, di sini hari ini.
 
Katanya Daerah Timur Laut mencatat angka tertinggi dengan 519 kes diikuti Seberang Perai Tengah (241), Seberang Perai Utara (196), Barat Daya (172) dan Seberang Perai Selatan sebanyak 102 kes.
 
Beliau berkata, sebanyak 114 kes membabitkan warga asing yang bekerja di negeri ini dan 15 kes pesakit berumur 14 tahun ke bawah.

Dr Lailanor menggesa orang ramai tinggal atau bekerja bersama-sama penghidap Tibi supaya menjalani pemeriksaan saringan penyakit itu bagi membolehkan wabak berkenaan dikesan pada peringkat awal.
 
"Selain itu, kami turut giat adakan pelbagai program dan kempen di peringkat sekolah melibatkan 75 kelab doktor muda di negeri ini, selain adakan ceramah kesedaran dan pameran di kawasan perumahan dan kilang-kilang," katanya.
 
Beliau berkata pihaknya memandang serius ancaman Tibi dan menetapkan pesakit mengikuti program kaedah Rawatan Pemerhatian Terus (DOT) yang memerlukan mereka mengambil ubat di hadapan doktor atau pegawai perubatan bertugas bagi memastikan ubat dimakan mengikut waktu.
 
Katanya kaedah itu mula dipratikkan di negeri ini sejak 2012 bagi memudahkan pesakit memaklumkan sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang tempoh rawatan dan pegawai kesihatan bertugas akan pergi ke rumah mereka yang gagal menghadiri program itu.  - Bernama

No comments:

Post a Comment