Search This Blog

Tuesday, April 29, 2014

Terperangkap dalam bah

Oleh Iskandar Shah Mohamed
Kuala Lumpur: “Kenderaan yang saya dipandu ditenggelami banjir kilat hingga ke paras bumbung dalam sekelip mata,” kata pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Estima, Shamsudin Dollah, 55.
Dalam kejadian jam 4 petang semalam, mangsa terperangkap di dalam banjir kilat berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Jalan Chan Sow Lin di sini, semalam.
Mangsa berkata, dia cuba untuk mengundurkan kenderaannya yang tersekat di dalam banjir itu namun gagal.

“Saya panik apabila tidak dapat mengundur kenderaan kerana enjin tidak boleh dihidupkan selepas ditenggelami air. Saya jarang menggunakan laluan itu dan tidak sangka banjir di kawasan itu amat dalam.
Foto
BEBERAPA laluan di sekitar Jalan Chan Sow Lin dinaiki air.

“Saya kemudian segera membuka pintu kenderaan sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Dia yang juga pemandu peribadi syarikat guaman bersyukur kerana terselamat selepas sempat keluar daripada kenderaan MPV berkenaan.

Mangsa berkata, kenderaannya itu kemudian ditunda keluar dari dalam banjir pacuan empat roda dipandu kakitangan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), sejam kemudian.

Sementara itu seorang wanita berusia 60-an turut menerima nasib sama apabila kereta model Proton Iswara Aeroback dipandu turut ditenggelami banjir di lokasi sama.

Difahamkan, laluan berselekoh itu sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat berlaku berikutan kedudukannya yang agak rendah dan curam.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya turut menerima laporan kejadian banjir kilat yang menenggelami sebuah kenderaan model Toyota Avanza di Jalan Maluri, Cheras, jam 5.30 petang.

Menurutnya, pemandu kenderaan seorang lelaki berusia 20-an bagaimanapun berjaya keluar daripada kenderaan itu yang dinaiki air sehingga menenggelami tayar.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

No comments:

Post a Comment