Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Terima 2 SMS sebelum anak dibunuh


MESEJ ugutan yang berbunyi 'lagi satu kali x sms. Awk boleh sembahyang utk anak' adalah sms terakhir daripada penculik kepada ibu mangsa sebelum membunuh Gunaseelan a/l D. Murugan.
MELAKA 22 April - Seorang bapa menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum anaknya berusia 13 tahun yang diculik Ahad lalu, ditemui mati dibunuh di tingkat satu sebuah rumah kedai kosong di Taman Merdeka Jaya, di sini malam tadi.
Dua SMS itu yang diterima D. Murugan, 52, kira-kira pukul 5.35 petang semalam, adalah ‘Selamat jalan’ dan ‘Lagi satu kali x SMS awak boleh sembahyang utk anak’.
Murugan seorang pekerja kontrak berkata, M. Gunaseelan, anak bongsu daripada tiga beradik, dikesan hilang dari rumah mereka di Batu Berendam di sini, sebaik sahaja dia pulang dari pasar borong berdekatan, pada pukul 9 pagi.
"Semasa saya keluar pada pukul 8 pagi, Gunaseelan masih berada di dalam rumah. Apabila pulang, saya lihat Gunaseelan tiada dan menyangka dia ke kafe siber berdekatan.
"Kira-kira pukul 7 malam, isteri saya, A. Letchumy, 44, mendapat panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengatakan telah menculik anak kami dan meminta wang tebusan sebanyak RM20,000," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini hari ini.
Menurut Murugan, sejurus selepas itu, dia membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam dan pada masa sama mengikut arahan penculik tersebut ingin berjumpa dengannya di empat lokasi sekitar Banda Hilir di sini, kira-kira pukul 9 malam.
"Saya ikut segala arahan diminta lelaki itu untuk diberikan wang sebanyak RM20,000 seperti yang diminta.
"Namun kira-kira pukul 11 malam, saya mendapat panggilan telefon daripada lelaki itu yang menyatakan polis mengikut saya dan cuba memerangkapnya (suspek). Ketika itu perbualan kami dimatikan," katanya.
Ujar Murugan, dia kemudian menerima dua SMS semalam, dan dua jam selepas itu dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak polis yang memaklumkan mayat anaknya ditemui seorang awam, kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, mayat Gunaseelan ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya terikat oleh seorang individu yang kebetulan pergi ke kedai tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_01/Terima-2-SMS-sebelum-anak-dibunuh#ixzz2ziyQKLR1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment