Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Tentera Filipina buru penculik


Gambar fail bertarikh 2 April lalu merakamkan dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali berdiri berhampiran pintu di Singamata Reef Resort di Sabah. Seorang pelancong wanita warga China dan seorang pekerja wanita warga Filipina diculik dari resort itu. - REUTERS
MANILA 4 April - Tentera Filipina dikerah ke kawasan terpencil di bahagian selatan negara ini yang disyaki menjadi tempat dua wanita yang menjadi mangsa culik disembunyikan oleh sekumpulan militan dari sebuah resort pelancongan di negeri Sabah, Malaysia, kelamrin.
Kumpulan Abu Sayyaf merupakan suspek utama dalam kejadian culik itu yang melibatkan seorang pelancong dari China dan seorang kakitangan resort warga Filipina, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala.
Beliau berkata, tujuh lelaki bersenjata menaiki sebuah bot laju dipercayai telah membawa dua wanita berkenaan dari resort berkenaan melintasi sempadan maritim menuju ke kawasan terpencil di kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina.
“Yang lebih penting ialah untuk mencari dan menghalang mereka daripada melarikan diri.
“Beberapa pasukan tentera laut turut dihantar ke sebuah pulau di sana," katanya.
Menurut Zagala, dua orang tebusan itu dipercayai dibawa ke bandar Simunul yang merupakan kawasan penempatan penduduk Islam yang terletak kira-kira 145 kilometer dari resort tersebut.
Pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kedua-dua mangsa sebagai Gao Huayuan, 29, dari Shanghai dan kakitangan resort, Marcy Dayawan, 40 tahun.
Zagala berkata, penculik disyaki mempunyai kaitan dengan sub komando Abu Sayyaf, Murphy Ambang Ladjia yang pernah terlibat dalam penculikan seramai 21 orang dari Sabah pada 2000.
Seramai 20 orang tebusan itu merupakan pelancong Eropah dan beberapa negara lain yang ditahan selama lima bulan sebelum dibebaskan, manakala tebusan terakhir ditahan sehingga 2003.
Kumpulan Abu Sayyaf yang dikatakan mempunyai beberapa ratus anggota bersenjata turut dipersalahkan atas kejadian serangan terburuk di Filipina termasuk serangan bom dan penculikan yang sering menjadikan pelancong sebagai sasaran.- AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_01/Tentera-Filipina-buru-penculik#ixzz2xxfkv4PS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment