Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Teliti rakaman CCTV kenal pasti suspek


2014/04/13 - 05:18:35
Anggota polis cedera ditembak

Ampang: Polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian kes dua anggota polis cedera ditembak lelaki bertatu harimau ketika mereka melakukan rondaan di Lembah Maju, di sini, kelmarin, bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad, berkata pihaknya kini berusaha mengenal pasti suspek melalui rakaman CCTV berkenaan.

Katanya, rakaman CCTV itu jelas menunjukkan seorang daripada suspek dipercayai menembak dua anggota polis berkenaan, melarikan diri melalui lorong kedai berhampiran lokasi kejadian.

“Kita akan mendedahkan gambar suspek daripada CCTV kepada media untuk bersama membantu mengesan suspek.

“Walaupun rakaman CCTV menunjukkan wajah suspek itu agak jauh, namun kita berusaha mendapatkan gambaran lebih jelas,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan tatu pada salah seorang suspek, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek ahli kongsi gelap.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kongsi gelap yang mana satu disertai suspek,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, polis sedang menjalankan tugas rondaan menahan dua lelaki mencurigakan di tepi jalan. Bagaimanapun, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dan anggota polis bertindak mengejar suspek. Seorang anggota polis sempat menarik baju salah seorang suspek, namun suspek bertindak agresif dengan melepaskan tiga das tembakan. Lans Koperal Lional Richard terkena dua das tembakan pada bahagian perut, manakala rakan setugasnya, Konstabel Zullfadzly Atlah terkena satu das tembakan pada bahagian ari-ari.

Keadaan kedua-dua anggota polis itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Ampang, kelmarin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi Polis Selangor di 03-20529999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di 03-42524866 atau mana-mana balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment