Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Tawan balai polis pula

Donetsk: Sekumpulan kecil lelaki bersenjata semalam menawan sebuah balai polis di wilayah timur Ukraine ini ketika tunjuk perasaan untuk menyertai Russia semakin meningkat.
Menteri Dalam Negeri Ukraine Arsen Avakov berkata, satu lagi kumpulan bersenjata cuba menawan pejabat pendakwa raya, tetapi berjaya digagalkan.
Serangan awal pagi terhadap balai polis itu berlaku di bandar Slavyansk, kira-kira 60 kilometer ke utara Donetsk.
Pusat pentadbiran Donetsk sudah pun berada di bawah penguasaan beratus-ratus lelaki bersenjata yang mengisytiharkan ‘republik rakyat’ mereka sendiri serta menggesa Presiden Russia Vladimir Putin menghantar tentera ke timur Ukraine.
“Lelaki bersenjata dengan pakaian celoreng menawan balai polis di Slavyansk,” kata Avakov dalam Facebooknya.
Seorang pegawai di balai berkenaan memberitahu stesen televisyen swasta di Kiev, serbuan itu dilakukan enam lelaki yang melepaskan tembakan ke udara sebelum menyerbu masuk.
Tidak dapat dipastikan tindak balas polis tempatan terhadap serangan berkenaan atau sama ada penyerang itu ada menahan tebusan.
Bagaimanapun, Avakov berkata, pasukan khas tentera Ukraine telah dikerah ke sana.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan pengganas bersenjata,” katanya.
Dalam kejadian lain, Avakov berkata, kumpulan penyerang berasingan cuba menawan pejabat pendakwa raya di Donetsk.
“Cubaan mereka berjaya dipatahkan.
Pejabat itu kini bebas daripada anasir asing.
“Seorang lelaki yang mengaku menteri pertahanan juga ditangkap,” katanya.
Seorang wartawan melaporkan, ramai anggota polis mengawal pejabat berkenaan.
Krisis di Ukraine, lebih-lebih lagi selepas Russia menguasai Crimea bulan lalu, mencetuskan keadaan paling buruk antara Russia dengan Amerika Syarikat dan Eropah sejak Perang Dingin berakhir.-AFP
Foto
AKTIVIS pro-Russia berkumpul selepas usaha mereka menawan pejabat pendakwa raya di Donetsk, Ukraine dipatahkan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

No comments:

Post a Comment