Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Tarzan mati digigit komodo


Tarzan, polis hutan di Taman Nasional Komodo, Labuan Bajo digigit Komodo hingga uratnya putus. - AGENSI
DENPASAR, Bali - Tarzan dikenali sebagai watak yang mesra dan dapat menjinakkan haiwan. Namun di bandar ini, seorang anggota polis hutan bernama Tarzan 'tewas' kepada seekor biawak komodo hingga dia perlu mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di sini.
Nasib malang yang menimpa Tarzan itu berlaku pada Ahad lalu ketika dia memberi makan rusa di Pos Jagawana Loh Baru, sebelah selatan Pulau Rinca, di Taman Nasional Komodo dengan menggunakan baldi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi waktu tempatan itu, Tarzan langsung tidak menyedari kehadiran biawak komodo itu yang menyambar dan menggigit betis kanannya selama lima minit mengakibatkan darah memancut keluar dengan laju.
Serangan komodo itu juga membuatkan Tarzan terjatuh dan dia berusaha menghalau binatang tersebut dengan menggunakan baldi.
Tarzan yang meminta pertolongan kemudian dibawa ke Klinik Labuan Bajo untuk mendapatkan rawatan, namun klinik itu tidak mempunyai doktor bedah.
Polis hutan itu kemudiannya diterbangkan ke Balibagi mendapatkan rawatan di Hospital Sanglah dan Tarzan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.
Menurut isteri Tarzan, Siti Nur, serangan komodo itu pertama kali berlaku ke atas suaminya sejak dia bertugas sebagai polis hutan pada 1987.
"Suami saya sudah hampir 27 tahun bekerja sebagai polis hutan bahkan hampir setiap hari melakukan pekerjaan yang sama, namun dia tidak pernah sama sekali diserang komodo," katanya kepada Tribunnews.com.
Sementara itu, seorang petugas klinik Labuan Bajo, Kelana yang membawa Tarzan ke Bali memberitahu, lelaki itu telah diberikan rawatan awal termasuk suntikan antibiotik, sementara luka kesan gigitan itu berjaya dijahit buat sementara.
"Namun oleh kerana urat tendonnya putus, maka perlu dilakukan rawatan lanjut ke atas Tarzan yang memerlukan pembedahan susulan. Oleh kerana klinik itu tidak mempunyai doktor bedah, kami putuskan untuk membawanya ke Hospital Sanglah," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_10/Tarzan-mati-digigit-komodo#ixzz2zwSBI868
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment