Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Tak tuntut tebusan


Oleh Ardyhansah Amat
Kota Kinabalu: Kumpulan lelaki bersenjata yang menculik seorang pelancong China berusia 29 tahun di Singamata Reef Resort, Rabu lalu, ada menghubungi keluarga mangsa tetapi tiada sebarang tuntutan atau tebusan yang dilakukan penjenayah itu.

Difahamkan, kumpulan berkenaan menghubungi keluarga mangsa beberapa minit pada Jumaat lalu dan mangsa, Gao Hua Yuan, turut diberi peluang bercakap bersama ahli keluarganya.


Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek berkata, hasil maklumat pihaknya, keluarga mangsa memaklumkan penculik itu tidak menyatakan mengenai wang tebusan, sebaliknya memberitahu Hua Yuan masih selamat.

“Mangsa culik dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan sihat. Berdasarkan risikan, kami sudah mengenal pasti kumpulan penculik terbabit dan tempat mereka menyembunyikan mangsa.


“Pada masa sama, kami juga sudah mengenal pasti empat daripada tujuh individu yang melakukan penculikan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurut Mohammad, keempat-empat penculik dikenal pasti pernah terbabit dengan beberapa siri penculikan sebelum ini iaitu membabitkan seorang lelaki di Pulau Pom Pom, Semporna tahun lalu dan kes membabitkan tiga mangsa di Pulau Sipadan, kira-kira 14 tahun lalu.

“Selain itu, seorang daripada mereka juga sering terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah, bahan api dan senjata.


“Berdasarkan siasatan, sebahagian penculik yang melakukan kes culik baru-baru ini pernah menetap dan bekerja di Semporna secara tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, kes penculikan bukan saja berlaku di pantai timur Sabah, sebaliknya turut berlaku di selatan Filipina yang menjadi lokasi ‘kegemaran’ kumpulan penculik.


“Setakat ini, 76 kes penculikan dilaporkan berlaku di sekitar kepulauan selatan Filipina dan membuktikan kumpulan ini bergiat aktif dalam melakukan jenayah penculikan dan tebusan,” katanya.


Terdahulu, dalam kejadian pada jam 10.30 malam Rabu lalu, pelancong warga China berasal dari Shanghai dan pekerja pusat peranginan warga Filipina diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata. Selain Hua Yuan, penculik turut melarikan Marcy Dayawan,40, yang juga pekerja di pusat pelancongan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment