Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

‘Tak tahu niat mereka mencuri’


Kuantan: “Saya hanya menolak troli manakala dua rakan mengambil barang dan meletakkannya dalam troli. Saya tidak tahu mereka berniat untuk melakukan perbuatan itu (curi),” kata seorang tukang cuci dalam rayuannya selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri pelbagai barangan di sebuah pasar raya di sini, 10 April lalu.

Berikutan pengakuan bersalah itu, Mahkamah Majistret mengarahkan Siti Zuliha Junus, 39, dari Jalan Kemaman, Beserah, di sini, melakukan kerja wajib empat jam sehari selama dua bulan.


Ketika ditanya Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali kenapa dia melakukan perbuatan berkenaan, tertuduh memaklumkan dia tidak tahu niat dua rakannya itu kerana hanya diarah menolak troli.



Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri pelbagai barangan antaranya 13 seluar, dua bungkus lampin pakai buang jenama Pet Pet dan Huggies Dry, dua unit seterika jenama Cornell dan sebotol Clorox yang semuanya bernilai RM500.


Siti Zuliha melakukan kesalahan itu di pasar raya Aeon Big, East Coast Mall, pada 10 April lalu, jam 10.25 malam.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor V Muneswaran manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.


Tertuduh juga merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung suami yang menghidap sakit mental serta anak masih bersekolah dengan pendapatan hanya RM650 sebulan.

Dalam penghakimannya, Noor Zaihan berkata walau apa pun alasan tertuduh, mahkamah tidak boleh melepaskannya begitu saja kerana kesalahan dilakukan agak berat dan berharap tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu lagi.


Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki didenda RM600 selepas mengaku bersalah bermain judi komputer tiga tahun lalu.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Aris Hamid, 27, dari Kampung Chendor, di sini, didakwa bermain judi siber menggunakan komputer di sebuah kafe siber di Jalan Pelabuhan Kampung Selamat, di sini, pada 20 September 2011 jam 1.45 pagi.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

No comments:

Post a Comment